AMMB, QL Resources ada peluang ganti kedudukan Top Glove, Hartalega dalam komponen utama KLCI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AMMB, QL Resources ada peluang ganti kedudukan Top Glove, Hartalega dalam komponen utama KLCI

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Nov - AMMB Holdings Bhd. dan QL Resources Bhd. dijangka menggantikan kedudukan saham syarikat pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corp. Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. dalam semakan setengah tahun komponen utama FBM KLCI yang akan diumumkan 7 Disember ini. 

 

Penganalisis RHB Investment Research, Alexander Chia berkata, berdasarkan peraturan asas Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, saham syarikat terbabit akan dikeluarkan jika kedudukan permodalan pasarannya dalam kalangan sekuriti yang layak turun kepada kedudukan ke-36 atau lebih rendah.

 

Katanya, kedudukan pasaran terkini bagi saham yang layak didapati Hartalega dan Top Glove masing-masing jatuh kepada kedudukan ke-39 dan 40.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kedua-dua saham ini akan terkeluar daripada senarai. Kemungkinan AMMB dan QL Resources akan menggantikan Top Glove dan Hartalega, walaupun pasaran dijangka tidak menentu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

"Ini kerana kami percaya AMMB dan QL Resources adalah dua saham bukan komponen yang layak, kedudukan tertinggi untuk menjadi peserta baharu dalam senarai utama ini.

 

"Pada masa sama, kami dapati meskipun Hap Seng Consolidated Bhd. berada pada kedudukan lebih tinggi, tetapi analisis yang dijalankan menunjukkan saham ini tidak memenuhi keperluan kecairan yang minimum," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

 

 

QL Resources

 

 

Kedudukan saham syarikat diambil kira berdasarkan kepada permodalan pasaran bagi penutupan perniagaan pada 21 November 2022. 

 

Perubahan kedudukan baharu dalam komponen FBM KLCI itu akan berkuat kuasa pada 16 Disember 2022.

 

Sekuriti syarikat akan dimasukkan dalam senarai utama FBM KLCI pada semakan berkala jika kedudukannya mengikut nilai pasaran penuh meningkat kepada tangga ke-25 atau lebih tinggi.

 

Chia menjangkakan ketidaktentuan pasaran yang ketara sepanjang minggu menjelang hari pengundian Sabtu ini, dan perubahan indikatif tersebut sama sekali tidak ditetapkan.

 

"Semua perkara adalah sama, kami menganggarkan jika harga saham Hartalega dan Top Glove masing-masing naik melebihi RM2.17 dan 93 sen, kedudukan permodalan pasaran mereka mungkin meningkat kepada tangga ke-36 atau lebih tinggi. 

 

"Ini membolehkan kedua-dua saham kekal dalam senarai saham komponen utama FBM KLCI," jelasnya.

 

 

Top Glove

 

 

Menurutnya, pasaran ekuiti kemungkinan kekal tidak menentu dan pelabur perlu memastikan kecairan yang mencukupi, untuk mendapat manfaat daripada kelemahan pasaran dengan objektif pelaburan jangka sederhana.

 

Beliau menyarankan kriteria pemilihan saham utama perlu mempertimbangkan syarikat yang mempunyai kunci kira-kira yang teguh, kuasa penentuan harga, asas pelanggan, permintaan berulang, keupayaan untuk melepaskan kos yang lebih tinggi, serta profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh.

 

"Kami mengesyorkan pendirian defensif teras dengan penekanan pada saham yang menghasilkan dividen tinggi yang berdaya tahan, selain kekal berwaspada untuk mengenal pasti kelemahan. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan, institusi kewangan bukan bank, minyak & gas, penjagaan kesihatan, perjudian dan bahan asas. Sebaliknya, kami masih 'underweight' terhadap produk getah," katanya. - DagangNews.com