KUALA LUMPUR 2 Mac - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan Guan Chong Berhad kepada 'pegang' berbanding 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih rendah RM2.51 berbanding RM3.15 sesaham sebelum ini disebabkan margin keuntungan yang lemah.
Firma itu berkata, pendapatan FY22 sebanyak RM149 juta gagal mencapai unjuran dan hanya membentuk 21%-23% daripada ramalan dan unjuran konsensus.
"Keputusan itu disebabkan oleh pengurangan margin keuntungan dan kos kewangan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) iaitu RM20.3 juta bebranding RM50.1 pada suku sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan pada 4QFY22 bagaimanapun meningkat 3.8% kepada RM1.13 bilion berbanding RM1.09 bilion tahun lepas, disokong oleh peningkatan 6.8% dalam jualan tahun ke tahun dan purata harga jualan serbuk koko yang lebih tinggi.
Firma itu turut menyemak turun unjuran pendapatan sebanyak 21% bagi FY23 dan FY24 selepas mengambil kira margin keuntungan yang lemah.
Bagaimanapun, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran hasil kerana percaya kilang Ivory Coast yang baharu beroperasi akan menyumbang secara positif pada FY23 dan seterusnya.
"Kami memperkenalkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak RM237 juta berdasarkan pertumbuhan hasil 5% dari tahun ke tahun dan margin sebelum cukai yang lebih baik sebanyak 5.5% menghampiri purata FY21," katanya. - DagangNews.com








