AmInvestment semak semula unjuran TIV 2022 lebih tinggi kepada 590,000 unit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment semak semula unjuran TIV 2022 lebih tinggi kepada 590,000 unit

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jun - AmInvestment Bank Research menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini lebih tinggi kepada 590,000 unit berbanding 555,000 unit sebelum ini. 

 

Unjuran itu bagaimanapun lebih rendah daripada ramalan TIV yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 600,000 unit. 

 

Menurut firma itu, semakan semula itu mencerminkan permintaan bagi kenderaan penumpang baharu adalah kukuh melebihi tempoh pengecualian cukai. 

 

"Kami menjangkakan Perodua akan muncul 'pemenang' terbesar dalam sektor ini dengan memperoleh penguasaan pasaran pada 4.1% mata pada 2022, mengalahkan Proton (-2.5% mata), memandangkan rantaian bekalannya mengalami gangguan," katanya dalam nota kajian.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, prestasi kewangan DRB-Hicom Bhd. berada di bawah jangkaan firma, diheret turun oleh pengeluaran Proton yang terjejas akibat banjir kilat pada Januari lalu dan masalah kekurangan cip. 

 

Secara keseluruhan, ia mendapati hanya 2 daripada 6 syarikat automotif di bawah liputannya yang mencatat prestasi kewangan dalam jangkaan manakala 3 di bawah jangkaan dan 1 mencatat prestasi tinggi. 

 

AmInvestment menjangkakan hasil dan keuntungan bagi sektor automotif masing-masing akan berkembang 5% dan 10% pada tahun ini, kembali ke tahap sebelum pandemik berikutan pemulihan ekonomi yang lebih meluas.

 

"Pada suku kedua, keuntungan dijangka lebih kukuh suku ke suku dan tahun ke tahun memandangkan pengeluar kenderaan mempercepatkan penghantaran menjelang berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST)," jelasnya.

 

Menurutnya, terdapat beberapa syarikat automotif telah mula memperkenalkan harga termasuk SST untuk tempahan terkini dalam usahanya mengurus jangkaan pelanggan. 

 

Katanya, memandangkan tempahan yang panjang, antara 2 dan 3 bulan secara purata, bakal pembeli yang membuat tempahan dalam tempoh 1 hingga 2 bulan lalu berkemungkinan besar akan mendapatkan kereta mereka selepas tempoh bebas cukai tamat.

 

"Namun begitu, walaupun selepas mengeluarkan harga yang dikemas kini, syarikat automotif masih melihat kadar tempahan harian yang baik, menandakan permintaan kukuh untuk kenderaan penumpang baharu berkemungkinan mampan di luar tempoh bebas cukai.

 

"Pembatalan tempahan dijangka meningkat pada Julai tetapi kami percaya volum jualan industri akan pulih dengan cepat apabila permintaan mengatasi bekalan," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif dengan menjangkakan jualan industri akan pulih tahun ini. - DagangNews.com