AmInvestment semak naik penarafan Malakoff kepada 'beli' dengan FV lebih rendah pada 79 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment semak naik penarafan Malakoff kepada 'beli' dengan FV lebih rendah pada 79 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 April - AmInvestment Bank Research menyemak naik penarafan saham Malakoff Corp. Bhd. kepada 'beli' daripada 'pegang' sebelum ini dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada 79 sen sesaham. 

 

Firma itu mengurangkan nilai wajarnya setelah mengambil kira sumbangan hasil yang lebih rendah daripada loji janakuasa Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) akibat terputus gangguan. 

 

"Bagaimanapun, kami menaiktaraf penarafan Malakoff kerana kami percaya bahawa kejatuhan 11.9% dalam harga sahamnya telah pun menggambarkan risiko operasi loji janakuasa TBE," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

TBE mengalami gangguan mulai 3 November 2021 hingga 13 Februari 2022 disebabkan kerosakan pada bilah turbin, sebelum ia kembali beroperasi pada pertengahan Febuari lalu.

 

Sementara menanti bilah baharu yang dijangka tiba sekitar September atau Oktober tahun ini dari Jerman, bilah sedia ada telah diubahsuai supaya loji janakuasa dapat beroperasi dengan lancar.

 

Buat masa ini, Malakoff sedang berbincang dengan syarikat insurans berhubung hasil pampasan.

 

AmInvestment menganggarkan keuntungan bersih teras Malakoff (tidak termasuk kerugian rosot nilai ke atas instrumen kewangan) meningkat 1.5% kepada RM280.7 juta bagi tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

"Ini disokong oleh kurangnya gangguan dan peruntukan serta hapus kira aset yang lebih rendah," tambahnya.

 

Dari segi operasi, katanya, keuntungan bersih FY22 Alam Flora dijangka disokong oleh jumlah sisa terurus yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, berdasarkan asas laporan, kami menjangkakan untung bersih Alam Flora akan menurun 34.6% kepada RM149 juta bagi FY22 sekiranya tiada peruntukan untuk hapus kira," katanya.

 

Dalam pada itu, katanya, Malakoff dijangka membida lebih banyak projek solar atas bumbung pada FY22. 

 

Kumpulan itu meraih kira-kira 25MW projek solar atas bumbung pada FY21, dengan 11MW dijangka siap dan ditauliahkan tahun ini.

 

Menurutnya, Malakoff menyasarkan untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 1,000MW menjelang FY25 berbanding 40MW ketika ini. 

 

Malah, kumpulan juga merancang untuk mengembangkan perniagaan pengurusan sisanya dengan menubuhkan loji pemulihan eko bersepadu di Klang dan kemudahan sisa pembinaan dan perobohan di Pahang.

 

"Kami percaya, Malakoff juga akan membida bagi loji sisa kepada tenaga (WTE) di negeri lain seperti Pahang dan Perak, sekiranya proses tender dilancarkan. 

 

"Sebelum ini, ia telah menyertai bidaan WTE di Melaka dan Johor pada FY21, dengan keputusan bidaan ini masih belum diumumkan," katanya.

 

Setakat 10.51 pagi ini, harga saham Malakoff menokok 1 sen atau 1.56% kepada 65 sen dengan 4.37 juta saham diniagakan. - DagangNews.com