AmInvestment 'potong' 13% unjuran pendapatan IOI Properties bagi FY22 dengan berakhirnya HOC | DagangNews Skip to main content

AmInvestment 'potong' 13% unjuran pendapatan IOI Properties bagi FY22 dengan berakhirnya HOC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan penarafan saham IOI Properties Group Bhd. dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV) lebih rendah, RM1.76 daripada RM1.80 sebelum ini. 

 

Penilaian lebih rendah itu berpunca daripada peningkatan 46% dalam hutang bersih yang sebahagiannya diimbangi oleh nilai aset bersih (NAV) yang lebih tinggi untuk bank tanahnya yang lain.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) sebanyak 13% manakala 7% bagi FY23 setelah mengambil kira jualan yang lebih rendah apabila berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 31 Disember 2021.

 

Pada masa sama, katanya, sentimen pembelian juga masih berhati-hati dalam tempoh terdekat disebabkan kebimbangan inflasi yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, kami kekal positif terhadap prospek IOI Properties, didorong situasi pasaran yang semakin bertambah baik di China dan peningkatan pendapatan berulang daripada pelaburan hartanah di Malaysia dan Singapura," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam taklimat bersama pengurusan IOI Properties baru-baru ini, AmInvestment mendapati, jualan hartanah bagi separuh pertama (berakhir 31 Disember 2021) hanyalah 39% daripada hasil jualan yang diraih pada FY21 sebanyak RM2.3 bilion.

 

Ini terdiri daripada 66% jualan dari Malaysia, manakala selebihnya menerusi China. Jualan yang lebih rendah daripada jangkaan disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan pada suku pertama FY22.

 

Namun, firma itu menjangkakan kumpulan akan merekodkan jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua FY22 sehingga FY23 dipacu pelancaran projek berjumlah RM2 bilion pada FY22 dan pemulihan sentimen pasaran secara beransur-ansur. 

 

"Projek utama ialah Xiamen 2 (RM476 juta) diikuti Xiamen 3 (RM435 juta) di China manakala Bandar Puteri Puchong (RM369 juta) dan Warisan Puteri Sepang (RM213 juta)," katanya.

 

Menurutnya, walaupun kos bahan binaan meningkat akibat gangguan rantaian bekalan, margin IOI Properties dijangka kurang terjejas kerana kebanyakan bahan untuk projek sedia ada diperoleh lebih awal pada harga lebih rendah.

 

Untuk projek baharu, katanya, kumpulan memperbadankan unit perniagaan baharu untuk membeli bahan binaan secara pukal bagi mengurangkan kesan peningkatan kos.

 

AmInvestment berkata, pembinaan fasa kedua IOI City Mall kini sudah 78% siap dan dijangka dibuka seperti dijadualkan pada Jun atau Julai 2022.

 

Projek pembinaan Central Boulevard di Singapura bagi menara pejabat Gred A Green Mark Platinum juga dijadualkan siap menjelang separuh pertama FY24.

 

Secara keseluruhan, firma itu menyukai IOI Properties berikutan proksi dengan China yang kukuh menyumbang 40% daripada jumlah jualan pada FY21 di samping mempunyai rekod prestasi yang baik dengan kejayaan projek hartanah di Malaysia, Singapura dan China. 

 

Setakat 10.12 pagi ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 1.01% kepada 98 sen dengan 3.48 juta saham diniagakan. - DagangNews.com