AmInvestment naikkan saranan Vitrox kepada ‘beli’ disokong jangkaan pemulihan semikonduktor pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment naikkan saranan Vitrox kepada ‘beli’ disokong jangkaan pemulihan semikonduktor pada FY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - AmInvestment Bank Research menaikkan saranan penilaiannya terhadap Vitrox Corp Bhd kepada ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) kekal pada RM8.40 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan lebih tinggi sebanyak 41 kali berbanding 36 kali sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa PE lebih tinggi itu adalah berdasarkan jangkaan industri semikonduktor terus pulih secara beransur-ansur pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Walaupun pendapatan kumpulan dilaporkan lebih lemah pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), firma itu berasa selesa dengan sumber hasil kumpulan yang pelbagai dan pendedahannya kepada industri pertumbuhan tinggi seperti segmen pengkomputeran, telekomunikasi dan automotif.

 

 

BACA JUGA: Untung bersih Vitrox merosot 34.6% kepada RM33.35 juta pada 3QFY23 berikutan permintaan segmen MVS, ABI lemah

 

 

“Kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur dan permintaan lebih kukuh dalam 1QFY24 daripada segmen pemeriksaan papan automatik (ABI) dan sistem penglihatan mesin (MVS) berbanding 2HFY23

 

“Selain itu, kepelbagaian geografi Vitrox mungkin memainkan peranan penting dalam memperoleh pelanggan baharu berikutan lencongan perdagangan akibat perang cip Amerika Syarikat dan China, khususnya di Mexico dan rantau ASEAN,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment, keuntungan bersih Vitrox dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM108 juta hanya menyumbang 64% daripada unjuran FY23 firma dan konsensus.

 

“Kami menurunkan unjuran pendapatan FY23-FY25 kami sebanyak 12% untuk setiap tahun, dengan mengandaikan anggaran jualan yang lebih konservatif, selepas keputusan 9MFY23 kumpulan yang di bawah jangkaan,” tambahnya.- DagangNews.com