AmInvestment kurangkan nilai wajar Kimlun kepada 75 sen dengan saranan 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment kurangkan nilai wajar Kimlun kepada 75 sen dengan saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mei - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Kimlun Corp. Bhd. dengan nilai wajar lebih rendah pada 75 sen daripada 88 sen sebelum ini.

 

Ini berikutan kumpulan merekodkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 yang tersasar daripada jangkaan dengan kerugian bersih sebanyak RM6.09 juta berbanding unjuran keuntungan bersih RM35 juta untuk tahun penuh dan anggaran konsensus RM39 juta.

 

Menurutnya, kerugian itu disebabkan hasil daripada segmen pembinaan yang lebih rendah dan hasil perkilangan dan perdagangan yang lebih rendah kerana pesanan jualan baharu yang diperoleh pada tahun lalu masih belum mencapai sumbangan hasil yang ketara.

 

Selain itu, kos bahan binaan yang lebih tinggi dan margin yang lebih rendah bagi jualan hartanah pada suku berkenaan turut mempengaruhi prestasi keuntungan Kimlun.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 18% bagi mencerminkan margin yang lebih rendah disebabkan kos bahan binaan yang lebih tinggi.

 

"Kami turut mengurangkan unjuran ini bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 15% dan 16%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku pertama itu juga, hasil Kimlun juga susut kepada RM173.95 juta berbanding RM210.28 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Nilai kontrak kumpulan setakat ini berjumlah RM2.1 bilion terdiri daripada RM1.6 bilion bagi pembinaan manakala RM400 juta bagi pembuatan. 

 

AmInvestment menjangkakan aliran kerja akan kembali pulih pada separuh kedua 2022, justeru, tidak membuat sebarang perubahan bagi tambahan nilai kontrak bagi FY22 hingga FY24.

 

"Kumpulan mempunyai potensi untuk meraih projek, antaranya, Fasa 2 Pan Borneo Sarawak, Transit Pantas Autonomi di Sarawak, Sistem Transit Pantas Johor-Singapura, projek hospital dan perumahan mampu milik.

 

"Pada masa sama, kami juga menjangkakan kos akan kekal tinggi memandangkan perang Ukraine-Rusia yang berpanjangan, justeru, kami telah mengurangkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi FY22-FY24 sebanyak 1.5%," katanya.

 

Menurut firma itu, dalam tempoh jangka masa panjang, Kimlun dijangka meraih manfaat daripada pembinaan projek MRT3, memandangkan kontrak dijangka dikeluarkan pada FY23.

 

"Sebelum ini, Kimlun pernah memperoleh kontrak bekalan untuk segmen pelapik terowong dan galang kotak segmen bernilai RM525 juta untuk kedua-dua projek MRT1 dan MRT2," tambahnya. - DagangNews.com