KUALA LUMPUR 22 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Sime Darby Plantation Bhd. dengan nilai wajar (FV) pada RM4.40 di sebalik usaha kumpulan untuk menambahbaik amalan buruhnya.
Ini kerana firma itu percaya harga minyak sawit mentah (MSM) akan mengalami lebih banyak penurunan berbanding kenaikan memandangkan pengeluaran dijangka meningkat pada masa akan datang.
"Setakat ini, kami mengekalkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
"Kami berpendapat, harga MSM yang kukuh setakat ini dapat membantu mengurangkan kenaikan perbelanjaan operasi kira-kira 7% hingga 8% ekoran perbelanjaan bagi melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan terhadap pekerja buruhnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Sime Darby Plantation dalam taklimatnya berkongsi perkembangan terkini mengenai usaha kumpulan menyelesaikan sekatan yang dikenakan terhadap produk sawit Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS).
Disebabkan beberapa langkah penambahbaikan yang dilaksanakan, ia menjangkakan jumlah kos operasi dijangka meningkat sekitar 7% hingga 8% bagi FY22.
Antaranya, termasuklah perbelanjaan untuk perumahan baharu dan pembaikan perumahan. Sime Darby Plantation telah memperuntukkan bajet sebanyak RM700 setiap rumah setahun berkenaan dengan perumahan pekerja dan terdapat hampir 20,000 rumah di Malaysia.
Selain daripada perumahan pekerja, kumpulan juga menyediakan saluran aduan baharu sebagai tambahan kepada 2 saluran sedia ada.
Perbezaan antara saluran baharu dan sedia ada ialah di bawah saluran baharu, semua kes akan dihantar ke ibu pejabat untuk siasatan.
Saluran aduan baharu yang dipanggil Ululah, diuruskan secara bebas oleh Impactt buat masa ini.
Menurut AmInvestment, Impactt dijangka melengkapkan laporan buruh audit bagi operasi ladang sawitnya di Malaysia menjelang akhir Mac 2022.
"Laporan itu akan dikemukakan kepada CBP AS pada April 2022, dan kemudiannya, Sime Darby Plantation akan mengeluarkan ringkasan laporan kepada orang ramai apabila ia dimuktamadkan," jelasnya.
Firma itu juga mendapati, Sime Darby Plantation tidak kehilangan mana-mana pelanggan berikutan terbitan status Nota Penemuan oleh CBP AS pada Januari 2022.
"Kumpulan telah menjual produk sawit daripada unit Papua New Guinea kepada pelanggan pelbagai negara di Eropah kerana larangan AS terhadap produk sawit Malaysia," katanya.
Setakat 12.24 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 17 sen atau 3.41% kepada RM5.15 dengan 4.24 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








