AmInvestment jangka inflasi kekal menjadi kebimbangan utama sektor pengguna | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka inflasi kekal menjadi kebimbangan utama sektor pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - AmInvestment Bank Research menjangkakan inflasi kekal menjadi kebimbangan utama kepada sektor pengguna dengan kebanyakan bahan mentah utama kekal tinggi selain peningkatan kos tenaga serta logistik.

 

Firma itu berkata, kenaikan gaji minimum bermula 1 Mei 2022 juga dilihat menjadi penyumbang kepada tekanan margin keuntungan dan bakal memberi risiko terhadap pendapatan bagi 1QCY22.

 

"Dengan mengambil faktor inflasi, syarikat-syarikat yang mempunyai kuasa penetapan harga yang terhad seperti Leong Hup International tidak mampu memberi respon segera kerana mereka sangat terdedah kepada kenaikan kos.

 

"Sementara itu model kotrak koko Guan Chong meminimumkan pendedahan syarikat kepada harga bahan mentah yang tidak stabil, terutamanya di bawah situasi semasa pemulihan permintaan untuk produk koko," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, permintaan daripada pengguna dijangka stabil meskipun berlaku peningkatan harga.

 

Katanya, Indeks Sentimen Pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melepasi ambang optimis kepada 108.9 mata berikutan peningkatan jangkaan pengguna terhadap pendapatan dan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

 

"Keadaan itu akan memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kuasa penentuan harga dan ekuit jenama seperti BJFood, Padini dan Power Root bagi menyemak semula harga produk mereka dengan memberikan impak minimum kepada jumlah jualan," katanya.

 

Firma mengekalkan sasaran 'neutral' untuk sektor itu dan kekal selektif untuk saranan 'beli' selepas mengambil kira kedudukan ekonomi yang tidak stabil.

 

Katanya, Guan Chong menjadi pilihan keranan berada di landasan tepat untuk mendapat manfaat daripada permintaan produk koko dan perancangan pengembangan perniagaan ke dalam pasaran Eropah akan memberikan kelebihan kepada mereka untuk jangka panjang. - DagangNews.com