AmInvestment jangka harga hartanah kediaman meningkat jika GST kembali dilaksanakan | DagangNews Skip to main content

AmInvestment jangka harga hartanah kediaman meningkat jika GST kembali dilaksanakan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - AmInvestment Bank Berhad menjangkakan berlakunya peningkatan harga hartanah kediaman antara 1% hingga 2% sekiranya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kembali dilaksanakan.

 

Firma itu berkata, sebelum ini pembelian hartanah kediaman tidak dikenakan GST tetapi bahan binaan dikanakan cukai dan ia terpaksa ditanggung oleh pemaju hartanah.

 

Katanya, pemaju hartanah bagaimanapun boleh memilih untuk menyerap sebahagian daripada kenaikan kos dan menyerahkan sebahagian lagi kepada pembeli.

 

"Impak terhadap sektor hartanah komersial dan tanah dijangka lebih besar kerana sebelum ini GST berada pada paras 6%.

 

"Sektor hartanah dilihat masih tidak stabil kerana permintaan yang kurang  kesan daripada harga produk yang tinggi sekali gus memberi kesan terhadap kemampuan orang ramai untuk memiliki rumah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kos pembinaan kebiasaannya menyumbang antara 50% hingga 55% daripada jumlah pembangunan kasar pemaju.

 

Firma itu menjangkakan, harga bahan pembinaan akan meningkat sebanyak 19% dan sekiranya pemaju menyerahkan 100% kenaikan kos kepada pembeli, harga jualan akan meningkat antara 9% hingga 11%.

 

"Kami percaya bahawa pemaju terutama mereka yang memiliki kuasa untuk menawarkan harga lebih rendah akan menyerap sebahagian daripada kenaikan kos semasa dan sebahagian lagi diserahkan kepada pengguna bagi mengimbangi tekanan margin keuntungan.

 

Firma itu juga menggemari pemaju yang memiliki kunci kira-kiran yang stabil dan aliran tunai yang mencukupi untuk menyokong aktiviti pengambilalihan tanah dan pada masa sama mengekalkan perniagaan mereka.

 

"Kami juga memilih pemaju yang lebih tertumpu kepada perumahan mampu milik terutamanya di kawasan strategik," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dari segi transaksi hartanah pada 2023.

 

Mereka juga menjangkakan lebih banyak pelancaran projek baharu didorong pembukaan semula sempadan antarabangsa. - DagangNews.com