AmInvest turunkan unjuran pendapatan FY23-24 MISC kesan OPEC kurangkan pengeluaran minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvest turunkan unjuran pendapatan FY23-24 MISC kesan OPEC kurangkan pengeluaran minyak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - AmInvest Research menurunkan sedikit pendapatan MISC Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/24) masing-masing sebanyak 2% dan 4%.

 

Ini adalah susulan pengurangan pengeluaran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) baru-baru ini memberi tekanan penurunan pada kadar kapal tangki petroleum dagangan, yang menurut firma penyelidikan itu, mengeruhkan prospek jangka pendek armada kumpulan.

 

OPEC secara mengejut telah mengumumkan satu lagi pengurangan pengeluaran sebanyak 1.16 juta tong minyak sehari (bopd) bermula Mei 2023 sebagai usaha mengekalkan harga minyak melebihi AS$80 setong, menjadikan jumlah keseluruhan pengurangan sebanyak 3.66 juta bopd tahun ini iaitu 3 hingga 4% daripada bekalan dunia pada masa ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pemotongan pengeluaran berkemungkinan menyebabkan jumlah penghantaran minyak mentah merosot dalam beberapa bulan akan datang justeru mengurangkan kadar tambang kapal tangki petroleum yang berada dalam aliran menurun sejak akhir tahun 2022 memandangkan 40 hingga 50% daripada pengeluaran minyak mentah global diangkut melalui laut.

 

Dalam suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22), dagangan bahan api menyumbang 23% daripada bahagian perkapalan petroleum dan produk, di mana Aframax ialah 8%, Suezmax 27% dan kapal pengangkut minyak mentah besar (VLCC) 70%.

 

“Kami menganggarkan penyusutan 10% dalam kadar purata hari di bawah andaian semasa kami boleh menurunkan pendapatan FY23 sebanyak 5%, dengan mengandaikan 50% pendedahan dagangan bahan api dan 40% sumbangan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) untuk FY23,” katanya dalam nota harini.

 

Firma itu berkata, bilangan terhad bagi kapal tangki petroleum binaan baharu pada tahun-tahun mendatang akan membantu mengehadkan ketersediaan kapal di seluruh dunia, mengurangkan kesan negatif jumlah penghantaran minyak mentah yang lebih rendah.

 

“Pasaran kapal yang ketat juga disokong oleh rombakan berterusan perdagangan minyak Rusia ke Asia dari Eropah sebelum ini, menjadikan kapal tangki digunakan untuk tempoh panjang dalam jarak lebih jauh,” tambahnya.

 

Walaupun terdapat potensi turun naik dalam segmen perkapalan petroleum dan produk, AmInvest menekankan bahawa prospek pendapatan dalam FY23 kekal berdaya tahan didorong pendapatan berulang yang stabil daripada operasi gas asli cecair (LNG) yang mempunyai lebih 95% daripada armada disokong oleh kontrak jangka panjang, ditambah pula dengan kemajuan penukaran normal Mero 3 di China.

 

Firma itu juga menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan nilai saksama (FV) sebanyak RM7.79 sesaham daripada RM8.11 sebelumnya memandangkan mereka menurunkan penilaian bagi armada kapal tangki petroleum kumpulan.

 

Setakat pukul 11.05 pagi hari ini, saham MISC menyusut 3 sen atau 0.4% kepada RM7.20, memberikan pasaran modal sebanyak RM32.14 bilion. -DagangNews.com