Ambil masa lama selesaikan isu WRO, berisiko kepada Sime Darby Plantation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ambil masa lama selesaikan isu WRO, berisiko kepada Sime Darby Plantation

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, telah menjejaskan proses penilaian berhubung perintah sekatan pelepasan (WRO) yang dikenakan terhadap Sime Darby Plantation Bhd. 

 

Bagaimanapun, penganalisis MIDF Research, Shahira Rahim menjangkakan kebenaran rentas negeri yang dibenarkan semula oleh kerajaan pada 11 Oktober lalu akan membantu Sime Darby Plantation menyelesaikan proses tersebut dengan cepat. 

 

Ini berdasarkan kepada perkembangan terkini yang dinyatakan kumpulan semasa sesi taklimat ringkas kepada penganalisis mengenai perkembangan langkah-langkah yang diambilnya dalam menangani isu WRO. 

 

Untuk rekod, produk minyak sawit syarikat perladangan gergasi negara itu dan anak-anak syarikatnya dikenakan WRO pada 30 Disember 2020 oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

Ini berdasarkan maklumat bahawa syarikat tersebut mempunyai 11 tanda buruh paksa yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

 

Susulan itu, Sime Darby Plantation menjalankan proses penilaian tetapi audit lapangan yang dijalankan Impactt terjejas apabila mereka tidak dapat turun ke ladang-ladang sawit kumpulan di Sabah dan Sarawak akibat sekatan pergerakan.

 

Lawatan tapak secara mengejut adalah keperluan yang ditetapkan oleh CBP memandangkan ia memerlukan pengumpulan data seperti buruh kanak-kanak, proses pengambilan pekerja dan gangguan sosial yang perlu dibuat menerusi temu ramah secara fizikal.

 

Namun, Shahira berkata, banyak penambahbaikan diperkenalkan Sime Darby Plantation bagi menyediakan persekitaran yang lebih baik kepada para pekerjanya di Malaysia.

 

Antaranya termasuklah memperbaiki mekanisme saluran aduan kumpulan, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan mewujudkan dialog sosial sebagai platform kepada para pekerja membangkitkan sebarang isu atau sebarang kebimbangan.

 

"Kami difahamkan, kumpulan kini merancang untuk melancarkan platform ini secara meluas menerusi operasinya di seluruh negara.

 

"Pada masa sama, kami juga yakin prospek kumpulan masih kekal berdaya tahan memandangkan ia merancang untuk melaksanakan pelbagai penambahbaikan yang diperlukan dan pelan tindakan khusus apabila proses penilaian itu lengkap pada awal 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023.

 

Ia masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Sime Darby Plantation dengan harga sasaran pada RM6.22. 

 

Penarafan ini dibuat setelah mengambil kira kedudukan kumpulan yang kukuh terutama disokong oleh kenaikan harga minyak sawit mentah meskipun pengeluaran buah tandan segar dijangka terjejas ekoran masalah kekurangan tenaga buruh

 

Sementara itu, penganalisis Public Investment Bank Research, Chong Hoe Leong berkata, status WRO yang berpanjangan akan meningkatkan kebimbangan terhadap dasar ESG kumpulan. 

 

"Secara dasarnya, kami memahami bahawa penilaian audit lapangan ini memerlukan sebulan untuk dilengkapkan di bawah keadaan yang biasa.

 

"Apabila penilaian ini dihantar kepada CBP, ia akan melalui proses semakan dalaman dan sesi soal jawab sebelum memutuskan sebarang keputusan mengenai status WRO," jelas beliau.

 

Namun, menurutnya, tempoh penilaian yang lebih lama itu secara tidak langsung boleh meningkatkan keraguan dalam kalangan pengguna dalam kalangan pengguna di negara lain mengenai sumber kelestarian minyak sawit keluarannya.

 

Beliau mendapati, pendedahan kumpulan dalam pasaran AS pula hanyalah dalam jumlah yang kecil dengan mencatat jualan sekitar AS$5 juta bagi tahun kewangan 2020.

 

Hoe Leong turut menjangkakan prestasi kewangan suku ketiga yang akan dikeluarkan bulan depan akan memberi kejutan dari segi hasil susulan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi. 

 

"Sementara menanti semakan semula harga minyak sawit mentah ini, kami mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Sime Darby Plantation dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.90," jelasnya. - DagangNews.com