alrajhi bank Malaysia tawar Manulife Shariah Global REIT Fund kembangkan peluang pelaburan hartanah pelanggan | DagangNews Skip to main content

alrajhi bank Malaysia tawar Manulife Shariah Global REIT Fund kembangkan peluang pelaburan hartanah pelanggan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 April - Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd (alrajhi bank Malaysia) menyediakan pelaburan Real Estate Investment Trust (REIT) patuh Syariah buat julung kalinya dengan mengedarkan Dana Manulife Shariah Global REIT.

 

Pelaburan REIT global itu disediakan di bawah bekerjasama dengan Manulife Investment Management (M) Bhd untuk mengembangkan penawaran pelaburan syariahnya dan diedarkan bermula 3 Mac 2023 kepada pelanggan, menawarkan peluang pelaburan hartanah di dalam dan dari seluruh dunia.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata, perkongsian itu memberi akses REIT global kepada pelanggan bank itu untuk rangkaian pelaburan hartanah yang lebih luas, selain menyediakan 14 dana unit amanah patuh Syariah, termasuk projek infrastruktur berskala besar lazimnya di luar had kepada pelabur runcit.

 

Manulife Investment Management (M) Bhd, anak syarikat milik penuh Manulife Holdings Bhd, telah beroperasi di Malaysia selama 14 tahun dan beribu pejabat di Toronto, Kanada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif alrajhi bank Malaysia, Arsalaan (Oz) Ahmed berkata, dengan pembukaan semula ekonomi global pasca COVID-19, pihaknya telah melihat trend ke arah pelaburan dalam infrastruktur untuk menyokong pemulihan industri dan dalam ekonomi baharu seperti e-dagang dan penjagaan kesihatan.

 

 

Arsalaan (Oz) Ahmed
Arsalaan (Oz) Ahmed

 

 

“Dana ini menawarkan pelanggan untuk dividen yang stabil dan berkembang, peluang pertumbuhan pelaburan jangka panjang dan pendedahan kepada trend global baharu muncul.

 

Pelanggan kami kini akan mempunyai keupayaan mengembangkan kekayaan mereka bagi memenuhi matlamat kewangan mereka melalui pengembangan berterusan kami dalam penawaran produk,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Investment Management, Jason Chong berkata perkongsian tersebut tepat pada masanya memandangkan REIT telah menjadi tumpuan dalam landskap ekonomi hari ini.

 

“Pemangkin pemulihan ekonomi adalah permintaan untuk pembinaan infrastruktur, daripada pusat data, gudang kepada pusat perubatan dan rumah persaraan, yang merupakan bidang pertumbuhan dalam menghadapi penduduk yang semakin tua di dunia,” tambahnya.

 

Pihaknya yakin dana tersebut dapat menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan bank tersebut untuk mempelbagaikan portfolio mereka bagi pertumbuhan jangka panjang, tambah Chong. -DagangNews.com