KUALA LUMPUR 14 Julai - Allianz Malaysia Bhd dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengumumkan dua produk yang dinaik taraf di bawah Pakej "Inisiatif Rahmah" - PerlindunganKu Allianz4All untuk perlindungan kemalangan diri dan Allianz MotorcyclePlus, perlindungan bagi motosikal.
Allianz berkata, pihaknya adalah antara penyedia insurans pertama melancarkan produk yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Insurans Rahmah oleh Kerajaan Malaysia yang bertujuan menyediakan pelan insurans mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
Menurutnya, PerlindunganKu Allianz4All yang dipertingkatkan di bawah Inisiatif Insurans Rahmah merupakan pelan insurans kemalangan diri mampu milik dengan perlindungan masing-masing sebanyak RM30,000 dan RM50,000 bagi Pelan 1 dan Pelan 2.
Katanya, produk ini juga membayar RM50 atau RM100 sehari, sehingga 30 hari, sekiranya pemegang polisi dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit atau kemalangan, bergantung kepada pelan yang dipilih.
"Selaras dengan inisiatif Rahmah, dua manfaat baharu telah ditambah iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan di hospital kerajaan bagi mereka yang mengalami kemalangan atau penyakit di fasiliti masing-masing sehingga RM500 dan RM750 bagi Pelan 1 dan 2.
"Terdapat juga bayaran sekali gus sebanyak RM500 dan RM750 untuk Pelan 1 dan 2 sekiranya berlaku pemindahan banjir. Manfaat baharu ditambah tanpa kos tambahan, dengan premium bagi Pelan 1 dan Pelan 2 masih dikekalkan masing-masing pada RM53 dan RM79.50 setahun (termasuk cukai perkhidmatan)," katanya dalam kenyataan media di sini.
Allianz berkata, produk kedua di bawah Pakej Inisiatif Insurans Rahmah adalah Allianz Motorcycle Plus yang menyediakan perlindungan untuk motosikal dengan kapasiti 250cc dan ke bawah, dalam menangani peratusan besar pengguna jalan raya.

Katanya, semua pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus layak menerima faedah tambahan termasuk perlindungan kemalangan jalan raya sebanyak RM10,000 apabila kematian atau hilang upaya kekal serta perlindungan pendapatan hospital sebanyak RM100 sehari sehingga 60 hari untuk setiap seorang penunggang dan pembonceng.
"Selaras dengan inisiatif Insurans Rahmah, Allianz Malaysia juga menawarkan bayaran sekali gus untuk Bantuan Banjir sebanyak RM1,000 tanpa kos tambahan di samping faedah sedia ada untuk pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus.
"Di samping itu, pemegang polisi Allianz Motorcycle Plus Comprehensive berhak mendapat perlindungan lanjut termasuk perlindungan penuh untuk bencana khas (banjir, taufan, tanah runtuh dan lain-lain) dan bantuan tepi jalan sehingga 50 km bagi setiap jarak perjalanan pergi dan balik," katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, pihaknya gembira dan memuji usaha kerajaan dalam menerajui inisiatif ini.
"Kami berharap dapat membangunkan lebih banyak produk dan pakej yang memenuhi keperluan semua segmen masyarakat, terutamanya golongan rentan dan keperluan segera mereka," katanya.
Selain itu, pelanggan yang membeli polisi Allianz Motorcycle Plus dan PerlindunganKu Allianz4All sebelum 15 Ogos 2023 secara automatik akan menerima dua jemputan eksklusif untuk konsert solo pertama Faizal Tahir yang berlangsung pada 2 September 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - DagangNews.com







