Aktiviti pajakan di KL pulih pada suku kedua disokong permintaan pasca pandemik - Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti pajakan di KL pulih pada suku kedua disokong permintaan pasca pandemik - Knight Frank

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Aktiviti pajakan di Kuala Lumpur pulih semula pada suku kedua 2023 disokong permintaan pasca pandemik, kata Knight Frank, perunding hartanah global bebas terkemuka.

 

Menurut Indeks Sewaan Pejabat Perdana Asia Pasifik terbaharunya, analisis komprehensif yang menjejak prestasi penyewaan hartanah pejabat utama merentasi 23 pasaran utama di Asia Pasifik -- daripada 23 bandar, 15 bandar melaporkan sewa yang stabil atau meningkat pada suku kedua 2023, berbanding 16 pada suku pertama 2023.

 

Perth mendahului pertumbuhan sewa suku tahunan pada 5.3%, diikuti oleh Brisbane pada 2.6%.

 

Pengarah Eksekutif Strategi dan Penyelesaian Pejabat Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, pasaran pejabat komersial di Kuala Lumpur terus dinamik dan aktiviti dalam sektor itu menggalakkan.

 

"Kami memerhatikan pengukuhan aktiviti pasaran memandangkan iklim perniagaan terus stabil.

 

"Aktiviti pencarian  semakin meningkat apabila syarikat yang mengalami pertumbuhan sedang meningkatkan pengembangan dan mengeksploitasi pasaran penyewaan untuk memanfaatkan peluang meningkatkan kualiti ruang pejabat yang mereka duduki," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, faktor dorongan kepada peningkatan  ini ialah penekanan pada sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh syarikat yang mempunyai mandat global dan pemilik tanah yang sedang mengukuhkan portfolio mereka untuk memberikan ruang yang boleh menyamai keperluan ini.

 

Kesannya, keadaan pasaran di kebanyakan rantau dijangka kekal menguntungkan penyewa untuk sepanjang tahun ini, dengan jangkaan tempoh 12 bulan akan datang untuk Kuala Lumpur adalah tidak berubah, Bernama melaporkan.

 

Sementara itu, Ketua Strategi dan Penyelesaian Penduduk Global Knight Frank, Tim Armstrong berkata, pasaran di Asia Pasifik jelas menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan kadar penggunaan pejabat yang lebih tinggi berbanding rantau  lain dan permintaan meningkat dengan lebih baik, disokong oleh trend beralih kepada aset yang berkualiti.

 

"Dengan kitaran pembangunan rantau ini dijangka berlanjutan ke 2024, peningkatan pilihan akan memberi pengguna manfaat untuk mendapatkan syarat pemajakan yang menguntungkan dalam keadaan semasa, memanjangkan trend beralih kepada aset yang berkualiti yang akan meningkatkan jurang antara aset terbaik dalam kelas dan yang bertaraf rendah," katanya. - DagangNews.com