KUALA LUMPUR 13 April - UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB) telah melancarkan akademi untuk memupuk pembangunan perniagaan yang mampan.
Menurut organisasi tersebut, akademi UNGCMYB menyasarkan untuk menjadi penyedia utama alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan program pembinaan kapasiti kemampanan korporat untuk perniagaan di Malaysia dan Brunei.
Dengan pasukan jurulatih berpengalaman, fasilitator dan pakar industri, akademi ini berdedikasi menyampaikan pengalaman pembelajaran menarik dan memberi kesan yang memajukan daya tahan perniagaan dan prestasi kemampanan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akademi UNGCMYB mereka bentuk bengkel latihan untuk memenuhi keperluan khusus syarikat yang mengambil bahagian dan sektor swasta lebih luas.

Akademi itu juga akan menawarkan tiga program untuk membina keupayaan kemampanan di seluruh Malaysia dan Brunei iaitu Program Permulaan ESG untuk PKS, Program Pengurus Kelestarian Bertauliah dengan Pusat Pengajian Perniagaan - Monash University Malaysia dan Program Eksekutif Kelestarian Bertauliah dengan Universiti Teknologi Malaysia.
UNGCMYB telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) semasa acara pelancaran termasuk dengan Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia.
Akademi UNGCMYB juga telah dilancarkan dengan sokongan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia), Tata Consultancy Services Malaysia (TCS Malaysia), dan Rantau PR Sdn. Bhd.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Senator Saraswathy Kandasami yang turut hadir di majlis tersebut menekankan kepentingan menyepadukan amalan mampan ke dalam strategi perniagaan serta peranan ESG dan peningkatan kemahiran kemampanan dalam peralihan Malaysia kepada masa depan yang lebih lestari.

"Saya menggalakkan pemilik korporat dan perniagaan untuk merebut peluang meningkatkan pengetahuan tentang amalan kemampanan dan mengintegrasikannya ke dalam organisasi mereka dengan mengambil kesempatan daripada penyedia pengetahuan seperti Akademi UNGCMYB,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Akademi UNGCMYB, Dr Sham Razak berkata "Akademi UNGCMYB menawarkan program pembinaan kapasiti yang inovatif kepada korporat dan PKS, memperkasakan mereka membangunkan strategi perniagaan." -DagangNews.com








