AirAsia X tawar diskaun 20% sempena penyambungan semula penerbangan ke Beijing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X tawar diskaun 20% sempena penyambungan semula penerbangan ke Beijing

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Selepas memulakan perkhidmatan ke Shanghai dan Hangzhou pada awal bulan ini, AirAsia X (AAX) terus mengembangkan rangkaian di China dengan dua penerbangan mingguan ke Beijing yang telah disambung semula, bermula semalam.

 

AirAsia X dalam kenyataan hari ini berkata, sempena sambutan penyambungan semula perkhidmatannya, pihaknya menawarkan diskaun sebanyak 20% ke Beijing untuk tempat duduk Ekonomi dan Premium Flatbed dalam penerbangan AAX. 

 

Katanya, tambang promosi ini tersedia untuk tempahan dari sekarang hingga 2 April 2023 untuk tempoh perjalanan antara 10 April 2023 dan 28 Oktober 2023.

 

"Penyambungan semula perkhidmatan itu dijangka akan merangsang perjalanan bagi pengembara perniagaan dan pelancong di kedua-dua arah, dengan potensi peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa ke China selepas negara itu menyambung semula perkhidmatan pengeluaran visa pelancong, baru-baru ini," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, penyambungan semula perkhidmatan ke Beijing ini adalah sejajar dengan komitmen mereka untuk meningkatkan rangkaian di China. 

 

Dari segi sejarah katanya, China adalah salah satu pasaran terbesar dan paling popular syarikat penerbangan itu dan perkhidmatan tersebut akan menawarkan para tetamu lebih pilihan serta nilai untuk melakukan perjalanan dari/ke Kuala Lumpur.

 

“Kami juga bakal menambah kekerapan laluan ini kepada empat penerbangan mingguan mulai 1 Jun 2023 untuk memenuhi permintaan yang dijangka akan meningkat, untuk menghubungkan ekonomi kedua terbesar di dunia dan ASEAN, serta memacu pemulihan sektor pelancongan di rantau ini.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

“AAX akan mengumumkan lebih banyak laluan di China termasuk memperkenalkan laluan unik dan  kurang diterokai pada masa hadapan," katanya.

 

Terdahulu, penerbangan pertamanya dari Kuala Lumpur mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing pada pukul 1.05 pagi, manakala penerbangan pulang dari Beijing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pukul 8:30 pagi tadi.

 

 

airasia

 

 

Para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan perjalanan negara yang ingin dituju. - DagangNews.com