KUALA LUMPUR 18 Nov - Syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Bhd. bakal menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan pada awal 2023.
Penerbangan tiga kali seminggu itu akan menjadi laluan keduanya ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, Korea Selatan ialah pasaran yang amat penting dan menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dari laluan sedia ada ke Seoul dengan kira-kira 80% faktor muatan.
Katanya, bermula dengan tiga penerbangan mingguan dan berdasarkan ramalan permintaan yang kukuh, kekerapan penerbangan ke Busan akan kembali kepada perkhidmatan harian menjelang akhir tahun.
“Pada 2019, kami telah menerbangkan kira 200,000 penumpang ke atu dari Busan. Dalam pada kami berusaha untuk meningkatkan lagi sambungan ke Korea Selatan, kami percaya bahawa penerbangan terus ke Busan akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara.
"Laluan baharu ini juga menandakan komitmen kami untuk terus menawarkan perjalanan udara jarak sederhana bernilai hebat untuk para penumpang dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain melancarkan semula laluan itu, AirAsia X turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk membangunkan kempen jualan dan pemasaran bersama, memanfaatkan sokongan ejen pelancongan, mengukuhkan rangkaian penerbangan, dan memupuk ekonomi kedua-dua negara melalui sektor pelancongan.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelancongan Busan, Jung-Sil Lee berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AirAsia X untuk memperkukuh peluang pelancongan untuk Busan, sebuah bandar yang mempunyai warisan unik, pelbagai tarikan semula jadi, dan infrastruktur termaju.
"Tempoh dua setengah tahun lalu memberi impak yang besar kepada industri pelancongan kami tetapi berjaya melepasi cabaran ini dan kami gembira kerana AirAsia X akan menjadi sebahagian daripada usaha ini.
“Pelancaran semula penerbangan terus ke Busan ini menandakan peristiwa penting dalam penyambungan semula perkhidmatan ke bandar ini," katanya. - DagangNews.com








