AirAsia X rancang tingkatkan kekerapan 11 penerbangan seminggu ke Shanghai menjelang suku kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia X rancang tingkatkan kekerapan 11 penerbangan seminggu ke Shanghai menjelang suku kedua

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - AirAsia X (AAX) merancang untuk meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan ke Shanghai, China kepada 11 penerbangan mingguan menjelang suku kedua 2023 sama seperti kekerapan pra-pandemiknya.

 

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataan berkata, ia berikutan permintaan yang menggalakkan dan pelonggaran sekatan kemasukan ke China.

 

Terdahulu, AAX menyambung semula perkhidmatannya ke Shanghai dengan empat penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur, bermula semalam.

 

Katanya, penerbangan sulung pasca-pandemik dari Kuala Lumpur berlepas dengan muatan penumpang yang menggalakkan, manakala penerbangan pertama dari Shanghai hari ini mencatatkan muatan seramai 373 penumpang, iaitu hampir 100%. 

 

"Ini menunjukkan permintaan perjalanan ke luar negara yang ketara daripada pasaran China," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, penerbangan pertama ke Shanghai adalah sedekad yang lalu dan hari ini pihaknya berbesar hati untuk kembali ke China dan meraikan penyambungan semula yang merupakan destinasi popular daripada segi sejarah perkhidmatan. 

 

Beliau berkata, pihaknya juga telah memulakan perkhidmatan penerbangan mingguan ke Hangzhou yang mencatatkan muatan sebanyak 97% ke Kuala Lumpur.

 

 

airasia

 

 

Jelasnya, China adalah salah satu daripada ekonomi utama dunia dan pembukaan semula penerbangan ke negara itu adalah tanda positif bagi AAX dan industri pelancongan secara amnya. 

 

"Memandangkan China baru sahaja mula dibuka semula, proses pemulihan perkhidmatan penerbangan masih dalam tahap permulaan. Bagaimanapun, kami tetap optimis bahawa permintaan perjalanan ke China akan kembali pulih ke tahap pra-pandemik dalam masa terdekat.

 

 

airasia

 

 

airasia

 

 

“Paling penting, kami melihat permintaan tinggi daripada pelancong China yang akan meningkatkan pemulihan kami dan memacu industri pelancongan tempatan di kedua-dua destinasi," katanya.

 

Tambahnya, pihaknya berharap untuk memulakan semula lebih banyak penerbangan ke/dari China dalam beberapa bulan akan datang.

 

 

airasia

 

 

Dalam pada itu, para tetamu dinasihatkan untuk menyemak keperluan perjalanan negara yang akan dituju. 

 

Tetamu yang ingin melakukan perjalanan penting ke Shanghai boleh menempah penerbangan melalui airasia Super App atau airasia.com dengan tambang termasuk semua daripada RM799 bagi tempat duduk ekonomi atau daripada RM2,299 bagi tempat duduk Premium Flatbed untuk perjalanan daripada sekarang hingga 29 Oktober 2023. - DagangNews.com