AirAsia tingkatkan penerbangan ke China berikutan lonjakan permintaan perjalanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia tingkatkan penerbangan ke China berikutan lonjakan permintaan perjalanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - AirAsia bakal meningkatkan penerbangan antara Malaysia dan China berikutan lonjakan permintaan perjalanan antara kedua-dua buah negara dan syarikat penerbangan itu menjangka permintaan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

 

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, purata jumlah penumpang yang dibawa dalam setiap penerbangan (faktor muatan) untuk kedua-dua penerbangan AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia ke/dari China ialah kira-kira 80% pada Julai.

 

Katanya, beberapa laluan berprestasi kukuh seperti Kuala Lumpur-Shanghai, Kota Kinabalu-Guangzhou, Kuala Lumpur-Nanning dan Kota Kinabalu-Wuhan turut mencatatkan faktor muatan sehingga 95% dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Kedua-dua syarikat penerbangan itu juga telah menjual lebih 320,000 tempat duduk antara China dan Malaysia dari Mac hingga awal Julai pada tahun ini, iaitu kira-kira 30% berbanding tempoh yang sama pada 2019 sebelum pandemik melanda. 

 

"Kira-kira 75% tempat duduk yang terjual ditempah warganegara China yang jelas menunjukkan bahawa Malaysia terus menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong dari China," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Berdasarkan permintaan semasa dan ramalan yang kukuh, AirAsia Malaysia akan menyambung semula laluan dari Kota Kinabalu ke Hangzhou bermula dengan tiga penerbangan mingguan mulai 2 September 2023. 

 

AirAsia X Malaysia akan meningkatkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Beijing (Daxing) daripada empat kepada lima penerbangan mingguan bermula 1 September, dari Kuala Lumpur ke Shanghai daripada empat kepada tujuh penerbangan mingguan bermula 15 September, dan dari Kuala Lumpur ke Hangzhou daripada tiga kepada empat penerbangan mingguan mulai 30 September tahun ini.

 

 

airasia

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya juga merancang untuk meningkatkan kekerapan laluan ini kepada tujuh penerbangan mingguan bermula Oktober berdasarkan permintaan. 

 

"Kesalinghubungan yang dipertingkatkan bukan sahaja akan meningkatkan ketibaan pelancong bernilai tinggi ke Malaysia malah memberikan sokongan penting kepada permintaan perjalanan domestik di Malaysia," katanya.

 

 

airasia

 

 

Dalam pada itu, syarikat penerbangan itu juga melancarkan tambang promosi ke semua destinasi di Asia Utara termasuk ke Guilin, Guangzhou, Nanning, Shantou, Beijing, Shanghai dan banyak lagi bermula daripada RM319 termasuk semua sehala.

 

Para penumpang juga boleh terbang ke negara Asia Utara yang lain seperti Hong Kong, Macau, Taipei, Busan, Sapporo dan banyak lagi daripada RM339 termasuk semua sehala.

 

 

airasia

 

 

Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di airasia Superapp dan laman web bermula hari ini hingga 6 Ogos 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 September 2023 dan 31 Mac 2024. - DagangNews.com