AirAsia tawar tambang serendah RM159 dari Pulau Pinang ke Bali bermula 12 hingga 16 Oktober 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia tawar tambang serendah RM159 dari Pulau Pinang ke Bali bermula 12 hingga 16 Oktober 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - AirAsia menawarkan tambang berpatutan antara Bali dan Pulau Pinang daripada RM159 termasuk semua sehala bermula hari ini hingga 16 Oktober 2022 untuk tempoh perjalanan antara 20 Oktober 2022 dan 25 Mac 2023.

 

Tawaran itu sempena pelancaran laluan terus baharu AirAsia Malaysia (AK) dari Bali (Denpasar) pada 20 Oktober 2022 sekaligus mengalu-alukan lebih ramai ketibaan pelancong serantau ke Pulau Pinang pada tahun ini.

 

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menambah kekerapan AirAsia Malaysia ke Pulau Pinang berjumlah 156 penerbangan setiap minggu. Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kedua terbesar AirAsia di Malaysia selepas Kuala Lumpur dengan kekerapan penerbangan antarabangsa terbanyak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pengumuman itu adalah bukti komitmen pihaknya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini sejajar dengan memorandum kerjasama (MoC) yang telah ditandatangani dengan PGT pada bulan Ogos lalu. 

 

Beliau berkata, pelancaran laluan terus baharu itu bukan sahaja menawarkan perjalanan yang lancar untuk para tetamu, malah akan meningkatkan kemasukan pelancong serantau dan menyokong ekonomi tempatan di kedua-dua buah negara. 

 

"Ini juga bertepatan dengan misi kami untuk memperkasakan rakyat tempatan dan kesejahteraan masyarakat dengan merangsang perjalanan udara dan memacu sektor pelancongan.

 

“Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kami dan sebagai pemain utama dengan bahagian pasaran terbesar sebanyak 50% sebagai sebuah kumpulan, kami akan terus mengembangkan perkhidmatan ke negeri ini pada masa hadapan. 

 

 

airasia

 

 

"Selain itu, dengan 92 rangkaian destinasi sambungan lain melalui perkhidmatan Fly-Thru ke Pulau Pinang, kami menjangka akan menerbangkan lebih ramai pelancong ke Pulau Mutiara pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, laluan baharu tersebut dilancarkan hari ini oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan dan Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Liyana Mahizzan di Komtar, Pulau Pinang.

 

 

airasia
(Dari kiri) Bambang Suharto, Yeoh Soon Hin, Liyana Mahizzan dan Ooi Chok Yan pada majlis pelancaran laluan AirAsia Denpasar-Pulau Pinang di Komtar, Pulau Pinang pada 12 Oktober 2022.

 

 

Sementara itu, Yeoh pula berkata, mereka berbesar hati kerana AirAsia melancarkan laluan terus antarabangsa baharu yang menghubungkan rantau ini lebih dekat dengan Pulau Pinang. 

 

"Memandangkan ini adalah laluan terus pertama dari Bali ke Pulau Pinang, kami berharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan negeri ini bukan sahaja kepada penduduk di Bali tetapi juga kepada pelancong serantau yang melawat Bali dan mempromosikan “7 Keajaiban Dunia Pulau Pinang” yang diumumkan baru-baru ini. 

 

 

airasia

 

 

"Kami percaya ini akan menjadi satu lagi laluan antarabangsa utama ke Pulau Pinang dan kami memuji usaha berterusan AirAsia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan serantau," katanya.

 

AirAsia Malaysia (AK) mengendalikan 156 penerbangan setiap minggu melalui sembilan laluan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (49x seminggu), Johor Bahru (28x seminggu), Kota Kinabalu (14x seminggu), Kuching (14x seminggu), dan Langkawi (21x seminggu) serta Singapura (21x mingguan), Bandar Ho Chi Minh (4x mingguan), Jakarta (3x mingguan) dan Bali (2x mingguan). - DagangNews.com