KUALA LUMPUR 18 Julai - AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan ke Colombo, Sri Lanka kepada dua kali sehari bermula 17 Julai 2023 sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan rangkaiannya di Asia Selatan.
Kekerapan penerbangan tambahan itu dilancarkan dengan acara pelepasan istimewa semalam yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Panglima Udara Marshal, Sumangala Dias, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Para penumpang di dalam penerbangan AK45 ke Colombo turut diraikan dengan meriah sempena memulakan perjalanan mereka.
Riad berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyambung semula penerbangan ke Colombo pada April tahun lalu dan teruja untuk meningkatkan kekerapan kepada dua kali sehari sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan rangkaian untuk memenuhi peningkatan permintaan perjalanan ke Asia Selatan.
Beliau berkata, Colombo ialah sebuah bandar indah yang mempunyai daya tarikan besar untuk pelancong riadah dan perniagaan.
"Justeru, kami berharap dapat menghubungkan lebih ramai pelancong antara Kuala Lumpur dan Sri Lanka pada tambang yang berpatutan.
"AirAsia komited untuk menjadikan ketersambungan ini boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat dan dua penerbangan harian, kami yakin lebih ramai pengembara dapat menikmati keindahan Colombo dengan lebih mudah dan berpatutan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Laluan Kuala Lumpur-Colombo telah lama menjadi salah satu laluan AirAsia yang popular sejak ia mula beroperasi pada 2009.
Terkenal di dunia dengan makanan laut segar dan pemandangan indah, Colombo adalah syurga pelancongan untuk para pengembara dan penggemar makanan.

Dengan peningkatan kekerapan harian ini, para tetamu boleh menikmati lebih fleksibiliti dalam merancang perjalanan mereka ke destinasi yang mesti dilawati ini dan dari Colombo ke Kuala Lumpur secara langsung.

Sempena meraikan penambahan kekerapan laluan itu, AirAsia menawarkan tambang promosi bermula RM389 termasuk semua sehala dari Kuala Lumpur ke Colombo, dengan diskaun sebanyak 50% untuk tempahan bagasi bagi masa terhad sahaja.
Tempahan boleh dibuat di airasia Superapp dan laman web mulai hari ini hingga 23 Julai 2023 untuk perjalanan antara hari ini dan 31 Mac 2024. - DagangNews.com








