KUALA LUMPUR 17 Jan - AirAsia terus mengembangkan rangkaiannya dengan melancarkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad, Bandar Warisan Dunia UNESCO pertama di India.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, laluan baharu itu akan mula beroperasi pada 1 Mei 2024 dan akan meningkatkan rangkaian syarikat penerbangan ini ke India sebanyak 11 laluan ke negara tersebut.
Katanya, laluan itu juga merupakan laluan baharu ketiga yang diumumkan pada 2024, yang mana menghubungkan AirAsia ke negeri Gujarat buat pertama kali dari Malaysia, seterusnya memperkukuh kedudukannya di Asia Selatan.
"Ahmedabad yang juga dikenali sebagai Amdavad ialah sebuah bandar pesat dan merupakan salah satu pusat tekstil kapas terbesar di India. Ia juga menawarkan pemandangan dengan keindahan tasik, keunikan seni bina kuil, reka bentuk masjid yang mengagumkan dan pelbagai tarikan menarik.
"Para pelawat juga boleh mengunjungi bandar ini untuk melihat senibina purba pada abad ke-15 di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Shah dengan lebih dekat. Selain itu, ia menawarkan pelbagai juadah dan menawarkan barangan perhiasan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, AirAsia menawarkan tambang promosi termasuk semua bermula RM209 sehala dari Kuala Lumpur dan bermula INR7,999 dari Ahmedabad ke Kuala Lumpur.
Katanya, tambang promosi itu boleh dibuat bermula hari ini hingga 28 Januari 2024 untuk tempoh perjalanan antara 1 Mei 2024 dan 19 Mac 2025 di aplikasi airasia Superapp atau di laman web.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran laluan baharu AirAsia ke bandar yang mempesonakan iaitu Ahmedabad.
Beliau berkata, lebih banyak destinasi menarik yang akan menyusul pada masa akan datang sejajar dengan pengumuman inisiatif kemasukan tanpa visa ke Malaysia bagi warganegara India oleh Kerajaan Malaysia.
"Sejak pelancaran penerbangan pertama kami ke India pada 2008, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara ini. Malaysia dan India mempunyai banyak destinasi pelancongan yang masih belum diterokai dan kita dapat lihat sektor pelancongan kedua-dua buah negara ini terus berkembang lebih sedekad lalu.
"Justeru, kami akan terus mengembangkan rangkaian dan menawarkan perkhidmatan yang terbaik supaya lebih ramai pengembara dapat menerokai pelbagai destinasi menarik yang belum dilawati dengan tambang berpatutan," katanya.
Katanya, AirAsia kini mengendalikan rangkaian yang kukuh dari Kuala Lumpur ke India, merangkumi bandar-bandar di utara dan selatan seperti Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru dan Kolkata melalui penerbangan jarak dekat AirAsia Malaysia serta ke New Delhi dan Amritsar melalui penerbangan jarak sederhana, AirAsia X.
"Pada Februari 2024, AirAsia akan memulakan penerbangan ke destinasi menarik yang lain seperti bandar Thiruvananthapuram di negeri selatan Kerala, yang menjadikannya laluan terus kedua ke negeri tersebut selepas Kochi, diikuti Jaipur pada April dan Ahmedabad bulan Mei," katanya.
Katanya, AirAsia juga menawarkan pilihan perkhidmatan 'Fly-Thru' yang mana para tetamu boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai transit ke lebih 130 destinasi AirAsia di 22 negara. - DagangNews.com








