KUALA LUMPUR 8 Mac - AirAsia melancarkan semula Program Kadet Juruterbang popularnya selepas dua tahun berikutan pandemik untuk menggalakkan orang ramai yang ingin membina kerjaya di awan biru untuk menyertainya.
AirAsia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Program Kadet Juruterbang adalah kursus khas selama 24 bulan sebagai persediaan kepada bakal juruterbang dengan latihan dan kelayakan yang mereka perlukan.
Katanya, program yang bermula sejak 2004 itu telah mengambil ramai calon kadet juruterbang termasuklah wanita yang kini telah menjadi Pegawai Pertama, Juruterbang Kanan dan Kapten di AirAsia.
"Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023, AirAsia berharap untuk menarik lebih ramai wanita untuk mendaftar dalam program tersebut dan menambah jumlah juruterbang wanita yang semakin berkembang.
"Syarikat penerbangan ini juga merupakan pemacu dalam memperkasakan penglibatan wanita dalam industri penerbangan yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki, daripada juruterbang, jurutera hingga ke ejen ramp," katanya.
Menurut kenyataan itu, lebih sedekad lalu, AirAsia telah menjadi syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang membuka pintu kepada juruterbang wanita iaitu Kapten Norashikin Onn, yang juga merupakan juruterbang komersial wanita pertama di Malaysia.
Sejak itu, ia telah mengambil seramai 157 juruterbang wanita di seluruh kumpulan termasuk Kapten AirAsia Indonesia, Monika Anggreini dan Kapten Suwapich Wongwiriyawanich, yang bermula sebagai kru kabin sebelum menjadi kapten wanita pertama mengendalikan pesawat Airbus A330 di Thailand.


Dua daripada kadet juruterbang wanita pertama menerusi program ini iaitu Kapten Ilyana dan Kapten Noor Hafizah, kini telah berkhidmat di AirAsia selama 17 tahun.
Pada 2019, seramai 44 wanita telah mendaftar dalam program ini, yang mana hampir semuanya kini bergelar Pegawai Pertama di AirAsia.


Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, dalam beroperasi pada kapasiti penuh secara beransur-ansur, pihaknya melihat lonjakan permintaan terhadap industri pelancongan.
Justeru katanya, dengan tambahan jumlah pesawat bagi memenuhi permintaan ini, pihaknya pasti akan menambah bilangan juruterbang ke dalam keluarga besar mereka.

"Di AirAsia, kami berbangga kerana menjadi sebuah organisasi yang memberikan peluang yang sama rata kepada semua dan mengalu-alukan juruterbang wanita untuk menyertai keluarga kami.
"Kerjaya sebagai juruterbang sememangnya amat menarik dan juruterbang senior sentiasa bersedia untuk membimbing kadet kami. Jadi jika anda berminat dan memenuhi kelayakan, sertai kami untuk membina kerjaya di udara," katanya. - DagangNews.com








