AirAsia galak guna ciri tanpa sentuhan untuk perjalanan lebih lancar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirAsia galak guna ciri tanpa sentuhan untuk perjalanan lebih lancar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - AirAsia terus menggalakkan penggunaan ciri-ciri tanpa sentuhan, termasuk daftar masuk kendiri dan pas masuk elektronik melalui airasia Superapp serta mesin daftar masuk bagasi kendiri. 

 

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan juga berharap lebih ramai tetamu akan memanfaatkan sistem pengecaman wajahnya iaitu 'FACES' untuk pelepasan pra-keselamatan dan menaiki penerbangan domestik terpilih.

 

Menurutnya, ciri-ciri tersebut bukan sahaja membolehkan proses daftar masuk, pra-keselamatan dan menaiki penerbangan lebih cepat, selamat dan cekap, malah melancarkan perjalanan para tetamu kerana mereka tidak perlu lagi berbaris di lapangan terbang serta boleh terus ke pintu masuk.

 

Katanya, lebih daripada 90% tetamu yang berlepas dari Malaysia berjaya menggunakan ciri-ciri daftar masuk kendiri pada 2022, dan berikutan kejayaan ini dan aplikasi Superapp yang dipertingkatkan, syarikat penerbangan ini akan mengehadkan kemudahan perkhidmatan daftar masuk kaunter di Malaysia berkuat kuasa 1 Mei 2023.

 

"Justeru, bagi mereka yang masih memilih untuk mendaftar masuk di kaunter, bayaran daftar masuk di kaunter akan dikenakan di Malaysia. 

 

"Ini bertujuan untuk menggalakkan para tetamu menggunakan inisiatif digital yang menawarkan pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar. 

 

"Walaupun langkah ini membantu menampung kos berkaitan penyelenggaraan kaunter daftar masuk tambahan, AirAsia berharap langkah pendigitalan ini akan memacu pengalaman perjalanan tanpa sentuhan sepenuhnya pada masa hadapan," katanya.

 

 

airasia

 

 

Menurut kenyataan itu, bagaimanapun, bayaran dikecualikan bagi para tetamu yang layak dalam kategori berikut dan masih boleh mendaftar masuk di kaunter secara percuma:

 

  • Warga emas berumur 60 dan ke atas.

 

  • Tetamu terjejas oleh perubahan jadual pada saat akhir dan pembatalan penerbangan.

 

  • Tetamu yang telah mendaftar masuk kendiri tetapi perlu mencetak semula pas masuk di kaunter.

 

  • Tetamu kurang upaya yang memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sah.

 

  • Tetamu yang membuat perjalanan sebagai Penumpang Remaja yang Terbang Bersendirian (YPTA)

 

  • Tetamu yang membeli tiket pada saat akhir melebihi tempoh daftar masuk.

 

  • Tetamu yang menaik taraf tempat duduk dan/atau menempah perkhidmatan tambahan di kaunter.

 

  • Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri.

 

  • Tetamu dengan tempahan Premium Flatbed, Premium Flex dan Corporate Full Flex.

 

  • Tetamu dengan tempahan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Waran Kerajaan (WAK).

 

  • Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih.

 

Para tetamu yang tidak termasuk di dalam kategori di atas masih boleh mendaftar masuk di kaunter tertakluk pada bayaran sebanyak RM20 bagi setiap tetamu untuk penerbangan domestik dan RM30 bagi setiap tetamu untuk penerbangan antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Lapangan Terbang dan Pengalaman Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam berkata, sepanjang tahun lepas, pihaknya telah melihat kadar penggunaan yang tinggi untuk ciri-ciri perjalanan tanpa sentuhan yang dilaksanakan terutamanya untuk keselamatan dan kesejahteraan para tetamu. 

 

 

airasia

 

 

Katanya, hasil daripada inisiatif digital ini, pihaknya dapat menawarkan pilihan kepada para tetamu untuk melangkaui proses daftar masuk di kaunter bagi pengalaman perjalanan yang lebih baik dan, pada masa yang sama, meningkatkan kecekapan operasi.

 

“Bagaimanapun, bagi mereka yang masih memilih untuk mendaftar masuk di kaunter, kami akan melaksanakan bayaran daftar masuk di kaunter untuk penerbangan domestik dan antarabangsa di Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan mereka menggunakan inisiatif digital kami. 

 

"Kami percaya bahawa perubahan ini akhirnya akan memberi manfaat kepada semua tetamu, kerana ia akan membantu menyelaraskan proses perjalanan dan mengurangkan masa menunggu di lapangan terbang," katanya.

 

Para tetamu yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Terminal 2) digalakkan untuk mendaftar butiran mereka bagi perkhidmatan FACES di airasia SuperApp untuk pelepasan pra-keselamatan dan menaiki penerbangan dengan lancar tanpa perlu mengemukakan pas masuk mereka. - DagangNews.com