AIR Berhad, Adaro Water jalin kerjasama pertukaran teknologi sektor air sisa kitar semula untuk pasaran Indonesia-Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AIR Berhad, Adaro Water jalin kerjasama pertukaran teknologi sektor air sisa kitar semula untuk pasaran Indonesia-Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Aliran Ihsan Resources Berhad (AIR Berhad) dan PT Adaro Tirta Mandiri (Adaro Water) menjalin kerjasama untuk pertukaran teknologi bagi memasuki pasaran Indonesia dan Malaysia terutama pada sektor air sisa yang dikitar semula, air bukan hasil (non-revenue water) dan air sisa industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AIR Berhad, Adam Saffian Ghazali berkata, pihaknya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Adaro Group, rakan kongsi yang progresif. 

 

"Perkongsian ini membuktikan kepakaran kami dalam menyediakan spektrum penuh air, air sisa, rawatan penambakan untuk operasi, penyelenggaraan, pemulihan kemudahan dan rawatan sistem air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara AIR Berhad dan Adaro Water untuk memupuk persefahaman antara dua buah syarikat. 

 

Adaro Water adalah cabang air dari Adaro Group yang berpusat di Jakarta, Indonesia. 

 

Perniagaan utama Adaro Water adalah pembinaan loji rawatan air melalui model perniagaan konsesi dan pengurangan air bukan hasil melalui kontrak berasaskan prestasi. 

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Adam Saffian dan Presiden Pengarah Adaro Water, Ahmad Rosyid.

 

Turut hadir, Presiden Malaysia Water Association, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Pengerusi Informa Markets Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pegawai Kewangan MMC Corporation Berhad, Badrulhisyam Fauzi.

 

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung semasa Ekspo dan Forum ASIAWATER Edisi ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 Disember 2022. - DagangNews.com