Agensi kreatif tempatan, 33.3 raih dua anugerah emas bagi pertunjukan dron bertaraf dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agensi kreatif tempatan, 33.3 raih dua anugerah emas bagi pertunjukan dron bertaraf dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt - Agensi kreatif tempatan, 33.3 dinobatkan sebagai pemenang anugerah emas di dalam dua kategori, Bahagian Penggunaan Strategi Paling Berkesan (Kategori Acara) dan Bahagian Penggunaan Strategi Paling Berkesan (Kategori Pengalaman) di edisi ke-14 acara tahunan Anugerah Agensi Terbaik yang lebih dikenali sebagai Anugerah Markies baru-baru ini. 

 

Penganugerahan itu adalah hasil daripada pelaksanaan bertaraf dunia pertunjukan dron agensi tersebut untuk jenama barang kemas mewah Cartier pada Disember tahun lepas.

 

Ditubuhkan pada 2019 oleh pengasas bersama, Edwin Raj, Lau Hoe Yin dan Zulamran Hilmi berbekalkan misi melangkaui batasan komunikasi dan membangunkan bentuk penceritaan menggabungkan teknologi dengan imaginasi manusia untuk menghasilkan produk kreatif berimpak tinggi. 

 

Agensi tersebut memang amat dikenali di dalam industri kreatif Asia kerana penglibatan mereka dalam penghasilan video muzik yang canggih serta berkualiti tinggi. 

 

Di antara artis Malaysia yang sering mendapatkan khidmat 33.3 adalah dua artis urban tanahair bertaraf global seperti penyanyi pop R&B, Yuna dan Presiden Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow. 

 

Edwin berkata, kemenangan ini mempunyai makna yang berbeza kerana ia membuktikan yang mereka boleh melangkah lebih jauh daripada  apa yang dijangka prospek dan orang-orang berkepentingan di dalam industri.

 

"Di dalam industri yang sering menekankan kepentingan kreativiti dan inovasi, kami amat berbangga kerana kami mampu menghasilkan kerja yang berkualiti tinggi untuk setiap permintaan yang kami terima, sama ada video muzik atau program-program pengaktifan untuk meningkatkan pengalaman pengguna bagi sesebuah jenama," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

333

 

 

Pertunjukan cahaya dron Cartier yang direka khas untuk pasaran Malaysia, merupakan acara kemuncak program pengaktifan ‘Into The Wild’, iaitu kempen global jenama barang kemas mewah tersebut. 

 

Ia merupakan projek pertama pasca pandemik yang berskala sedemikian yang diadakan di Menara Berkembar KLCC yang ikonik dan 33.3 merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang diberikan kelulusan untuk melaksanakan pertunjukan cahaya dron di taman tersebut. 

 

Untuk projek ini, 33.3 bekerjasama dengan syarikat penyelesaian dron terkemuka, Skymagic, yang diasaskan di United Kingdom.

 

 

333

 

 

Sejajar dengan kemenangan ini, bersama pertumbuhan progresif dan permintaan untuk konten, media digital dan industri-industri pengaktifan, 33.3 telah menyaksikan peningkatan hasil pendapatan sebanyak 8 hingga 12%.  

 

33.3 adalah syarikat Malaysia pertama yang berjaya melaksanakan 6 pertunjukan cahaya dron yang sangat teknikal dan mereka telah memecah 2 rekod yang dicatat Malaysia Book of Records, bagi jumlah dron terbesar di dalam satu pertunjukan cahaya (sehingga 350 dron untuk satu projek).  - DagangNews.com