KUALA LUMPUR 10 Jun - Aeon Co. (M) Bhd. mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkuat kuasa 30 Jun 2022, selepas 3 tahun bersama kumpulan syarikat tersebut.
Beliau akan digantikan dengan Ono Keiji, seorang eksekutif dengan pengalaman selama 27 tahun berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam Kumpulan AEON di peringkat global.
Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin berkata, Lembaga Pengarah mengiktiraf dan menghormati keputusan Shafie untuk meneruskan cabaran baharu selepas berjaya mengemudi syarikat melalui ketidaktentuan dan kerumitan ketika pandemik COVID-19 dan merumuskan Aeon Strategi Playbook.
"Shafie telah memainkan peranan penting dalam perjalanan transformasi Aeon. Kepimpinannya yang berwawasan dan berinspirasi telah mencipta Aeon yang lebih berdaya tahan dan tangkas untuk menghadapi cabaran masa depan.
"Kami mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan komitmennya dan mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa depan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafie memulakan kerjaya sebagai Pelatih Pengurusan di Carrefour Singapura pada 1996 dan merupakan
Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour Asia pertama pada usia 35 tahun.
Beliau menerajui Carrefour di Singapura, Malaysia dan Indonesi termasuk menjalankan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Pengurusan Bakat Global dan Pembangunan Organisasi Kumpulan Carrefour di Paris.
Selain itu, beliau juga mengetuai dan mengubah Carrefour Indonesia menjadi Transmart, peruncit gaya hidup yang menyasarkan pendapatan sederhana sebelum memainkan peranannya dalam Aeon.
Sementara itu, Ono pula pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Pengarah Wakil Aeon Kemboja dan menyertai Aeon Co. (M) Bhd. daripada peranannya sebagai Presiden dan Pengarah Wakil Aeon Ryukyu Co. Ltd di Jepun. - DagangNews.com








