Aeon Co. dijangka berdepan tekanan margin akibat inflasi, HLIB semak turun penarafan kepada 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aeon Co. dijangka berdepan tekanan margin akibat inflasi, HLIB semak turun penarafan kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Mei - Aeon Co. (M) Bhd. dijangka berdepan cabaran tekanan margin di tengah-tengah persekitaran inflasi dan usaha kumpulan untuk mengekalkan harga barangan, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma itu juga berhati-hati dengan prospek kumpulan bagi tempoh sederhana hingga panjang di sebalik pemulihan jualan yang didorong pembukaan semula ekonomi.

 

Ini memandangkan katanya, kempen Harga Jamin yang diadakan pada suku pertama 2022  menyaksikan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi segmen runcit menguncup sebanyak 3.2 mata peratus bagi suku ke suku.

 

"Dalam taklimat baru-baru ini, kumpulan memaklumkan akan melancarkan satu lagi kempen anti-inflasi mengenai item asas teras dalam usaha untuk mengekalkan pelanggan.

 

"Walaupun kumpulan berhasrat untuk mengekalkan nilai kepada pelanggan, tetapi kami berpendapat langkah ini akan mengakibatkan penguncupan margin pada masa akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, HLIB menyemak turun penarafan Aeon Co. kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran juga dikurangkan kepada RM1.40 daripada RM1.78.

 

"Kami juga mengurangkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 6.5% selepas mengambil kira faktor cabaran dari segi margin," jelasnya. 

 

Minggu lalu, Aeon Co. melaporkan prestasi kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 yang menyaksikan untung bersihnya meningkat kepada RM28.07 juta daripada RM22.03 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu adalah lebih rendah sebanyak RM1.002 bilion berbanding RM1.013 bilion bagi tempoh sama 2021.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Co., Shafie Shamsuddin berkata, walaupun berlaku kenaikan harga, tetapi kumpulan masih dapat memberikan harga pada kadar kompetitif dan tidak meningkat dengan mendadak dalam tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang bagi memberikan ruang kepada pelanggan untuk menyesuaikan diri dengan landskap semasa.

 

Sementara itu, mengenai perkhidmatan pengurusan hartanah, HLIB berkata, dengan penggunaan struktur penyewaan komisen oleh kumpulan berbanding struktur sewa tetap tradisional, Aeon Co. telah memperoleh komisen jualan yang lebih tinggi apabila penyewa meningkatkan jualan.

 

"Dengan fleksibiliti ini, kumpulan berjaya mengekalkan lebih ramai penyewa dan mempunyai kadar penghunian yang stabil untuk pusat beli-belahnya di tengah-tengah persekitaran mencabar.

 

"Ia menyaksikan komposisi pendapatan bagi pendapatan tetap dan berubah masing-masing pada 58% dan 42%," tambahnya. 

 

Setakat 11.24 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.32% kepada RM1.50 dengan 991,700 saham diniagakan. - DagangNews.com