Acara UOB Heartbeat Run/Walk kumpul dana RM1.2 juta bantu kanak-kanak kurang bernasib baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Acara UOB Heartbeat Run/Walk kumpul dana RM1.2 juta bantu kanak-kanak kurang bernasib baik

Ng Wei Wei (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada acara UOB Heartbeat Run/Walk di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Acara UOB Heartbeat Run/Walk berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.2 juta menerusi beberapa badan amal yang bertujuan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan golongan rentan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, selaras dengan matlamat ‘Membina masa depan ASEAN’, UOB Malaysia berhasrat melakukan perubahan dalam bidang kanak-kanak, pendidikan dan seni, yang dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat. 

 

"Ini merupakan edisi ke-14 acara pengumpulan dana UOB Heartbeat Run/Walk kami, dan saya berbesar hati dengan semangat kedermawaan rakan sekerja dan pelanggan kami yang berjaya mengumpul RM1.2 juta untuk lima penerima sumbangan. 

 

"Ini mengesahkan komitmen secara kolektif dan keupayaan kami untuk membantu meningkatkan komuniti di mana UOB beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Acara UOB Global Heartbeat Run/Walk adalah program kesukarelawanan dan pengumpulan dana utama tahunan yang diadakan secara global merentasi 18 pasaran. 

 

Dalam tempoh dua bulan sebelum acara diadakan, rakan sekerja dari UOB Malaysia menganjur pelbagai aktiviti pengumpulan dana, termasuk konsert maya, lelongan dan bazar amal, yang telah menyumbang kepada jumlah tertinggi itu.

 

Dana yang dikumpul oleh UOB Malaysia akan disalurkan ke arah menyediakan bantuan makanan dan merapatkan jurang digital. 

 

Lima penerima utama Food Aid Foundation, HOPE Worldwide Malaysia, Kechara Soup Kitchen, Yayasan Pintar, WORLD Vision Malaysia akan menggunakan dana tersebut untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di samping melengkapkan mereka dengan alatan dan kemahiran digital.

 

Pengarah Negara HOPE Worldwide Malaysia, Darick Wong Kai Yin berkata, mereka menzahirkan penghargaan kepada UOB Malaysia atas sumbangan dan amat menghargai sokongan padu mereka. 

 

"Kami percaya bahawa semua kanak-kanak patut diberi peluang belajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka," katanya.

 

Acara tersebut yang berlangsung di Taman Metropolitan Kepong, menyambung semula tradisi tahunan yang diadakan secara bersemuka. Selain Malaysia, empat pasaran lain iaitu Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, turut mengadakan acara UOB Heartbeat Run/Walk secara fizikal.

 

Lebih daripada 3,000 rakan sekerja UOB Malaysia, keluarga dan rakan-rakan menyertai acara Heartbeat Run/Walk tahun ini. - DagangNews.com