Acara pandu uji trak MAN Malaysia dapat sambutan hangat syarikat pengangkutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Acara pandu uji trak MAN Malaysia dapat sambutan hangat syarikat pengangkutan

Pengurus Besar MAN Malaysia, Thayalan Subramaniam (kiri) menerangkan sesuatu kepada pengunjung yang memandu uji trak di acara tersebut.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan Euro V sebagai enjin standard, menganjurkan acara MANTAP! (MAN Test and Prove!) di cawangannya di Johor Bahru, baru-baru ini.

 

Acara pertama kali diadakan itu memberi peluang kepada pemilik syarikat pengangkutan dan pemandu trak di wilayah selatan untuk memandu uji MAN Truck Generation Baharu di jalan raya dan mengetahui ciri-ciri trak yang menerajui pencapaian keselesaan memandu, kecekapan penggunaan bahan api, sistem bantuan, rangkaian digital dan kemampanan.

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, matlamat syarikat adalah untuk meningkatkan kehadiran pasaran di wilayah selatan.

 

“Minat yang tinggi dari wilayah ini telah diterima sejak pelancaran MAN Truck Generation Baharu.  

 

"MANTAP! merupakan jemputan untuk komuniti pengangkutan di selatan untuk berkunjung dan memandu uji trak terkini daripada MAN dan memberi peluang kepada kami untuk membuktikan kehebatannya dalam hampir segenap aspek berbanding trak-trak lain di pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah HSE Logistics Sdn Bhd, Mohd Hairiy Abu Rasid, yang tiba paling awal dari Tangkak bersama anak lelakinya, menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan MAN Malaysia.

 

“Trak MAN terkenal dengan kuasa tarikan dan brek yang tiada tandingnya dan sangat sesuai untuk menjalankan tugas-tugas berat.

 

 

man

 

 

"Tidak ramai pemilik dan pemandu trak di wilayah ini yang berpeluang memandu uji trak ini, terutamanya model MAN Truck Generation Baharu sehinggalah acara ini dianjurkan.

 

"Saya amat tertarik dengan trak utama MAN TGX Baharu dengan ruang kabin yang luas dan enjin berkuasa 540 hp dan merancang untuk membuat pembelian pada tahun hadapan," katanya.

 

 

man

 

 

Pemilik Chain Hub Sdn Bhd, Dzulfariqh Abdul Manap telah mengambil peluang untuk membawa seramai sembilan orang pemandu syarikat ke acara pandu uji ini.

 

“Acara ini telah dianjurkan dengan begitu baik sekali dan mungkin boleh diadakan berhampiran dengan tempat pemandu sering berkumpul supaya mereka boleh merasai pemanduan trak terkini daripada MAN. 

 

 

man

 

 

"Semua pemandu saya telah memberi maklum balas yang sangat positif selepas memandu uji MAN TGS Baharu.  Sebenarnya saya telah membuat pesanan untuk dua buah unit dan kini menunggu kedatangan trak-trak baharu yang akan menyertai kumpulan kenderaan syarikat," katanya. - DagangNews.com