KUALA LUMPUR 13 Jun - Able Global Berhad telah merancang untuk melaksanakan eksport sulung susu penuh ke Amerika Syarikat pada Jun ini, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata usaha sama kumpulan di Mexico telah memperoleh lesen eksport untuk kategori susu penuh dan kini sedang menunggu kelulusan lesen eksport untuk kategori susu penuh krim daripada pihak berkuasa.
Secara perbandingan, susu penuh krim mempunyai pasaran yang lebih besar di Amerika Syarikat, di mana firma itu berpendapat bahawa pelaksanaan eksport tersebut adalah petanda yang baik dan sepatutnya memudahkan eksport kumpulan dari Mexico pada masa akan datang.
“Sementara itu, kadar penggunaan terkini di operasi Mexico adalah 20 hingga 25%, terutamanya dijual di dalam negara dengan kira-kira separuh kepada Walmart Mexico. Oleh itu, kadar penggunaan operasi Mexico dijangka berkembang seiring dengan peningkatan permintaan,” katanya dalam nota hari ini susulan taklimat penganalisis daripada Able Global.
Di samping itu, pengurusan kumpulan itu yakin permintaan dalam segmen makanan dan minuman (F&B) kekal pada suku kedua tahun kewangan 2023 (1QFY23).
TA Securities berkata ini disokong oleh peningkatan jualan daripada segmen F&B sebanyak 28.2% suku ke suku (QoQ) pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), disumbangkan oleh kedua-dua pelarasan harga dan pertumbuhan volum.
Pada suku tersebut, kadar penggunaan susu pekat adalah 52% (FY22: 51%), susu sejat pada 92% (FY22: 67%) dan produk susu kering sebanyak 20% (FY22: 17%).
Jelasnya, lonjakan ketara dalam permintaan susu sejat didorong oleh permintaan untuk tin kecil di Afrika yang mendapat tempahan berulang kali.
Bagaimanapun, margin Able Global di bawah tekanan akibat harga gula mentah yang meningkat kira-kira 21% tahun ini berbanding paras purata tahun lalu dan harga gula yang dibeli mereka telah melonjak 50 hingga 60%.
“Kumpulan itu merancang untuk melakukan pelarasan harga jika harga gula kekal tinggi dalam masa dua hingga tiga. Kami berhati-hati bahawa sebarang kenaikan harga boleh mengakibatkan kemusnahan permintaan seperti pada suku sebelumnya,” kata TA Securities.
Firma itu tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan dan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM1.48 sesaham.
Pada waktu rehat tengahari ini, saham Able Global ditutup pada RM1.31, naik 2 sen atau 1.6% dengan modal pasaran sebanyak RM406.7 juta. -DagangNews.com








