KUALA LUMPUR 28 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 9 rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba esok.
Perdana Menteri berkata, seorang warga Singapura turut dibawa keluar bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland.
"Alhamdulillah sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dijangka tiba esok.
"Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau menghargai ucapan penghargaan daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dalam laman facebook rasminya “A friend in need".
"Kerajaan Malaysia juga sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara.
"Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN," katanya.
Semalam, Suruhanjaya Tinggi Singapura mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra di atas bantuan membawa keluara seorang rakyat republik itu dari Kyiv, Ukraine.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, konvoi yang selamat tiba di Poland awal pagi semalam itu diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud.
Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine dilakukan berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu. - DagangNews.com








