KUALA LUMPUR 15 Ogos - Hong Leong Islamic Bank (HLISB) mendapati sebanyak 65% umat Islam Malaysia akan memilih produk perbankan dan pelaburan patuh syariah.
Tinjauan HLISB itu dijalankan dalam kalangan 690 orang Islam Malaysia berumur antara 18 dan 77 tahun, yang kebanyakannya merekodkan median pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM10,000.
Selain itu, bank tersebut turut melaporkan 47% rakyat Islam Malaysia mendakwa sedang melabur, dengan tiga pilihan utama ialah dana Amanah Saham Nasional Bhd, tabungan Tabung Haji dan komoditi emas, diikuti oleh saham Malaysia dan akaun simpanan berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, ia berkata, 77% daripada responden tidak mempunyai rancangan kewangan yang didokumenkan, walaupun 84% daripada mereka mendakwa mempunyai keinginan untuk menjadi kaya.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, hasil tinjauan itu memberi peluang kepada bank untuk memanfaatkan pasaran yang semakin berkembang dalam menawarkan pendekatan pengurusan kekayaan yang komprehensif sejajar dengan prinsip kekayaan Islam.

"Dalam perbankan Islam, pelaburan bukan hanya untuk mengembangkan kekayaan peribadi anda, tetapi ia berfungsi sebagai komponen penting dalam ekosistem pengurusan kekayaan Islam, rangka kerja hujung ke hujung yang menangani penciptaan, pengumpulan, pengedaran, pemeliharaan, dan pemurnian kekayaan.
"Dibina berdasarkan nilai Islam dan prinsip Syariah, pendekatan komprehensif ini secara aktif menggalakkan altruisme dan tanggungjawab sosial, memastikan risiko dan keuntungan dikongsi antara mereka yang memerlukan dan mereka yang lebihan," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Sementara itu, ketua Syariah HLISB Akmal Solihi Mohd Yazid menekankan kepentingan pengurusan kekayaan Islam dan bagaimana bank itu mahu membantu pelanggannya menggunakan potensi sepenuhnya.
“Dalam Islam, pemerolehan, perbelanjaan dan pemeliharaan kekayaan hendaklah dijalankan dengan betul dan bertanggungjawab, berpegang kepada prinsip Islam, yang membawa kepada cendekiawan Islam kontemporari mencipta satu set garis panduan yang memastikan keseluruhan perjalanan kekayaan mematuhi peraturan Islam ini.
"Dengan pasukan pakar Syariah yang berdedikasi dan rekod prestasi yang terbukti dalam kewangan Islam, kami memastikan penyelesaian kekayaan yang dibuat khusus kami memenuhi garis panduan Syariah yang ketat ini sambil memenuhi pelbagai keperluan pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com








