Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Peratusan populasi Malaysia yang divaksin meningkat kepada 59.4% setakat 29 Ogos 2021.
Sebanyak 44.9% daripadanya telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, peratusan mengikut kawasan pula menyaksikan Lembah Klang yang merekodkan peratusan populasi divaksin yang tertinggi iaitu 81.2%.
Kedudukan tersebut diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (70.0%), Negeri Sembilan (68.6%), Sarawak (65.5%), Pulau Pinang (63.8%) dan Perlis (61.2%).
Negeri-negeri lain bagaimanapun masih di bawah tahap 60%.

Bagi peratusan populasi dewasa pula, sebanyak 82.8% golongan dewasa di Malaysia telah divaksin, 62.6% daripadanya berjaya melengkapkan dua dos vaksin.
Dalam pada itu, jumlah pemberian dos harian pula menyaksikan sebanyak 302,804 dos diberikan semalam.
Jumlah tersebut terdiri daripada 142,186 pemberian dos pertama dan 160,618 pemberian dos kedua.

Jumlah yang dicatatkan itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di Malaysia meningkat kepada 34.02 juta bagi tempoh sama.
Jumlah tersebut meliputi 19.3 juta pemberian vaksin dos pertama dan 14.6 juta bagi pemberian vaksin dos kedua. - DagangNews.com








