50 pelajar asnaf SMK Seksyen 11 diraikan di majlis Iftar Ramadan Datasonic | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

50 pelajar asnaf SMK Seksyen 11 diraikan di majlis Iftar Ramadan Datasonic

Iftar Ramadan Datasonic telah dihadiri oleh kira-kira 100 orang tetamu termasuk pelajar dan guru-guru dari SMK Seksyen 11, lembaga pengarah dan pengurusan syarikat serta wakil media.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SHAH ALAM 6 April - Datasonic Group Berhad telah menyantuni 50 pelajar kurang berkemampuan dari SMK Seksyen 11, Shah Alam dalam majlis iftar di sini, semalam.

 

Iftar Ramadan Datasonic merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sulung syarikat tersebut bagi tahun 2023, di mana mereka meraikan para pelajar Tingkatan 1 hingga 5 yang terpilih di Hotel DoubleTree by Hilton, i-City, Shah Alam.

 

Timbalan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan berkata majlis iftar telah dimulakan sebagai salah satu inisiatif CSR sejak tahun lepas sebagai peluang syarikat menyantuni anak-anak kurang berkemampuan dari pertubuhan atau sekolah yang diambil sebagai anak angkat bagi tempoh setahun.

 

 

datasonic

 

 

Menurut beliau, Sekolah Sukan Selangor tersebut telah terpilih sebagai sekolah angkat syarikat pada tahun ini dan berharap usaha ini dapat memberi makna dan mendorong lebih semangat kepada para pelajar dalam menjalankan ibadah puasa pada tahun ini.

 

Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa selain majlis iftar, syarikat juga akan menganjurkan pelbagai program CSR lain untuk pelajar-pelajar sekolah ini sepanjang tahun ini.

 

“Saya berharap inisiatif-inisiatif ini akan terus memberikan peluang, pendedahan serta semangat yang lebih kepada pewaris masa depan negara ini terus menimba ilmu pengetahuan dan menjadi insan cemerlang pada masa hadapan,” katanya dalam majlis tersebut.

 

Majlis yang dihadiri oleh guru-guru SMK Seksyen 11, barisan lembaga pengarah dan pengurusan Datasonic itu turut menyaksikan penyerahan duit raya kepada anak-anak asnaf ini.

 

 

datasonic

 

 

“Kami sangat menghargai program ini dan berbesar hati kerana terpilih antara banyak sekolah, di mana anak-anak ini sangat bertuah dan kami amat bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan ini,” kata pengetua SMK Seksyen 11, Mukhtar Zakaria.

 

Sekolah menengah itu merupakan sebuah sekolah berasrama penuh harian menempatkan 290 orang atlet pelajar dari seluruh kawasan Selangor.

 

Atlet-atlet sekolah ini turut bersaing untuk pasukan kebangsaan dalam acara sukan seperti bola sepak, olahraga, badminton, memanah, bola jaring, sepak takraw dan renang.

 

Sekolah ini telah diwartakan sebagai Sekolah Sukan Selangor oleh Jabatan Pendidikan Negeri sejak tahun 2009. -DagangNews.com