47 gerai di medan selera Taman Harmoni di Sibu terima sijil halal | DagangNews Skip to main content

47 gerai di medan selera Taman Harmoni di Sibu terima sijil halal

Majlis penyerahan sijil halal kepada pengusaha gerai makanan Taman Selera Harmoni Sibu pada 14 Mac 2022.

SIBU 14 Mac - Sebanyak 47 pengusaha gerai makanan di medan selera Taman Harmoni di bandar ini menerima persijilan halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

 

Ketua Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Islam Sarawak (JAIS), Ramzen Ambi berkata, medan selera tersebut merupakan penerima terbesar selepas Lundu yang mencatat 22 pengusaha gerai dan sembilan di Bangunan Baitulmal, Kuching.

 

''Jabatan itu merancang untuk mengisytiharkan enam lagi tempat di seluruh negeri Sarawak sebagai halal sepenuhnya.

 

"Iaitu dua di Kuching dan masing-masing satu di Serian, Daro, Bintulu dan satu di Miri, sekaligus menjadi yang terbesar di negeri ini dengan 64 penjaja,” katanya pada majlis penyampaian sijil halal kepada pengusaha medan selera Taman Harmoni Sibu di sini hari ini.


 

taman harmoni sibo
Medan selera Taman Harmoni Sibu kian popular kepada masyarakat di bandar ketiga terbesar di Sarawak.

 


Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Clarence Ting menegaskan bahawa medan selera akan kini menarik lebih ramai pengunjung ke Sibu.

 

“Orang dari luar Sibu ada mengadu bahawa selain hotel, tidak ada tempat lain di mana mereka boleh mencari makanan halal. Sekarang gerai Taman Harmoni sudah disahkan halal sepenuhnya,” katanya.

 

Ting menambah bahawa medan selera itu kini boleh menarik pengunjung Islam sama ada mereka dari Semenanjung Malaysia atau Indonesia.

 

“Sejak tahun 2020, SMC merancang untuk menjadikan tempat ini halal sepenuhnya tetapi disebabkan pandemik, kami memerlukan masa untuk melakukannya.

 

''Rancangan SMC seterusnya untuk mendapatkan sijil halal sepenuhnya ialah medan selera Bandung Walk,” katanya. - DagangNews.com