4 syarikat termasuk TNG Digital dikenakan penalti berjumlah RM50.45 juta oleh BNM akibat gagal mematuhi kawal selia kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

4 syarikat termasuk TNG Digital dikenakan penalti berjumlah RM50.45 juta oleh BNM akibat gagal mematuhi kawal selia kewangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah RM50.45 juta terhadap empat buah syarikat iaitu I-Serve Online Mall Sdn Bhd, TNG Digital Sdn Bhd, MPI Generali Insurans Berhad dan Mandiri International Sdn Bhd.

 

Bank pusat itu berkata pada 19 Oktober 2022, ia telah mengenakan kompaun kepada I-Serve Online Mall Sdn Bhd dan enam entiti lain yang berkaitan kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

 

Denda berjumlah RM50 juta itu melibatkan I-Serve Online Mall, i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd, QA Smart Partnership PLT, QA Elite Partnership PLT, QA Premium Partnership PLT, MM2217 PLT, dan Valuewise PLT, yang telah dibayar pada 16 November 2022.

 

BNM mendedahkan bahawa antara Jun 2018 dan September, kumpulan I-Serve ini telah menerima deposit daripada orang ramai dan seterusnya terlibat secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti pengambilan deposit haram tersebut.

 

“Ini dilakukan melalui skim di mana wang diterima daripada orang ramai dengan syarat wang itu akan dibayar balik sepenuhnya, melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, TNG Digital dikenakan denda RM600,000 pada 18 Mei 2023 dan telah membayar denda itu pada 31 Mei 2023.

 

Jelasnya, syarikat tersebut gagal menjalankan saringan sekatan ke atas nama pelanggan pertama, dan bagi individu kedua, ia gagal memastikan dan membuat pertanyaan lanjut bahawa pelanggannya sepadan dengan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) atau senarai domestik oleh Menteri Dalam Negeri.

 

MPI Generali pula telah didenda RM260,000 pada 29 Disember 2022 akibat kegagalan menjalankan saringan sekatan kewangan bersasar ke atas pelanggan, yang dibayar pada 6 Januari 2023.

 

“Selain itu, BNM turut mengarahkan syarikat tersebut menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses penapisan sekatannya, dan sejak itu, MPI Generali telah menangani kebimbangan penyeliaan dengan memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Mandiri International Sdn. Bhd. (MISB) telah membayar denda RM134,400 pada 7 April 2023 setelah didapati tidak mematuhi Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 setelah gagal mengenal pasti dan mengesahkan pemilik benefisial bagi transaksi yang dijalankan.

 

“Semasa pemeriksaan, BNM mendapati bahawa beberapa pelanggan MISB telah menjalankan transaksi pengiriman wang bagi pihak pihak ketiga.

 

“Pemeriksaan lanjut ke atas pelanggan ini mendapati MISB gagal mengenal pasti dan mengesahkan pemilik benefisial untuk transaksi pengiriman wang,” katanya. - DagangNews.com