4 ciri-ciri martabat guru untuk membimbing generasi madani | DagangNews Skip to main content

4 ciri-ciri martabat guru untuk membimbing generasi madani

oleh Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor

TEMA sambutan Hari Guru pada tahun 2023 iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ diuar-uarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai bertepatan dengan perkembangan semasa dunia pendidikan di Malaysia ini.

 

Tema ini memperihalkan konsep membangkitkan roh dan jiwa guru ke arah memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Guru.

 

Guru merupakan sosok tubuh yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam.

 

Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitabnya bertajuk Ihya’ Ulumuddin menggariskan satu panduan komprehensif adab pelajar dalam menuntut ilmu. Salah satu daripadanya adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

 

Begitu mulia darjat seorang guru di sisi agama, namun tidak sesekali seorang guru itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik.

 

Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri.


 

parafrasa

 


Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.

 

Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak akan jemu-jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

 

Untuk itu, dalam usaha membentuk konsep dan jati diri Madani dalam kalangan anak-anak murid, seorang guru itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat keguruan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka.

 

Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat guru atau pendidik:

1. sebagai Mudarris atau guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.

2. sebagai Mu’allim yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.

3. Mursyid yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.

4. Murabbi yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya  menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

 

Sebagai seorang guru yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah fahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai  pendidik.

 

Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seseorang guru itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha pembentukan elemen negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.

 

Sesungguhnya, peranan guru adalah sangat signifikan, penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa.


 

parafrasa

 


Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri, negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa.

 

Di sinilah daya upaya guru sebagai agen perubahan yang berkesan perlu diarusperdanakan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata.

 

Sebaliknya, ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang. - DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia