36,281 individu OKU dapat kerja menerusi inisiatif Perkeso - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

36,281 individu OKU dapat kerja menerusi inisiatif Perkeso - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 36,281 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga kini.

 

Ismail Sabri berkata, selain golongan belia, kerajaan juga mengambil berat terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup golongan OKU melalui Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang memberi penekanan terhadap aspek penyediaan peluang pekerjaan lebih baik.

 

"Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

 

Terdahulu, ekspo tersebut menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan daripada 1,000 majikan pelbagai sektor.

 

Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, penglibatan dan sumbangan generasi muda penting sekali dalam memperkukuh semangat Keluarga Malaysia, justeru, kerajaan menyediakan inisiatif kepada golongan belia seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi dua program utama iaitu Program Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dalam pasaran buruh.

 

"Selain itu, kerajaan juga menumpukan kepada pembangunan bakat masa hadapan dengan menjadikan agenda ini sebagai pemangkin dasar utama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12). 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Bagi memperhalus usaha ini, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dikenal pasti kerajaan sebagai pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin dengan keluhan Keluarga Malaysia dan sentiasa mencari kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan. 

 

Katanya, bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan ‘jamin kerja’ telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

 

"Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Profiling Kebangsaan perlu dibangunkan dengan mempergiat usaha pelaksanaan program seru temu (outreach) pemprofilan pencari kerja di seluruh negara. 

 

"Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk merebut segala inisiatif dan insentif yang ditawarkan, bukan sahaja untuk menambah baik kehidupan tetapi juga berganding bahu memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com