KUALA LUMPUR 24 Okt - Seramai 2,000 peserta dari seluruh dunia dijangka menghadiri Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023), di ibu negara mulai 7 hingga 9 November ini.
Kongres dan pameran sawit terbesar di dunia anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu menampilkan lebih 100 penceramah terkenal dunia berkongsi pandangan tentang trend semasa, cabaran, peluang dan teknologi terkini industri sawit dalam kertas kerja mereka pada kongres tersebut.
Selain daripada pandangan tentang prospek industri sawit, PIPOC 2023 menyediakan peluang rangkaian yang sangat baik untuk para peserta untuk berhubung, bekerjasama dan mewujudkan perkongsian yang bermanfaat.
Bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’, PIPOC 2023 melibatkan empat persidangan serentak iaitu Persidangan Pertanian, Bioteknologi & Kemampanan, Persidangan Pemprosesan, Keselamatan Makanan & Pemakanan, Persidangan Hiliran & Penambahan Nilai, dan Persidangan Ekonomi & Pemasaran Global.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kongres tahun ini akan memberi tumpuan kepada meneroka kemampanan dan inovasi dalam industri sawit yang menekankan pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan pembangunan ekonomi.
Beliau berkata, PIPOC 2023 akan membincangkan penyelidikan dan kemajuan teknologi terkini, memupuk inovasi sambil memastikan amalan mampan.
“Kongres itu, yang juga merangkumi lawatan teknikal, akan memberi peluang kepada peserta melawat ladang sawit, kilang sawit, dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

PIPOC 2023 juga akan menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang akan mempamerkan teknologi terkini, produk dan perkhidmatan terbaru.
PIPOC 2023 dijangka menjadi majlis penting kerana ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Majlis tersebut juga akan diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, penganalisis industri minyak sayuran, Thomas Mielke, Dr Julian McGill, Dr Sathia Varqa dan Ivy Ng akan berkongsi pandangan mereka tentang trend semasa dan prospek minyak sayuran termasuk minyak sawit untuk tahun depan.
McGill, penganalisis pertanian dan pengarah urusan Glenauk Economics Limited, akan berkongsi pandangannya mengenai prospek harga minyak sawit dalam pembentangannya bertajuk, 'Palm Oil Price Drivers and Outlook for 2024'.
Manakala Varqa, pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura akan berkongsi ideanya mengenai prospek pasaran minyak sayuran bagi tahun hadapan dalam kertas kerja 'Palm and Major Vegetable Oil Price and Market Outlook 2024'.
Mielke yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Oil World yang berpangkalan di Jerman akan membentangkan kertas kerja bertajuk 'Global Vegetable Oil Supply, Demand and Price Outlook'.
Sementara itu, Ivy yang juga Ketua Penyelidikan Malaysia dan Ketua Penyelidikan Agribisnis CIMB Investment Bank Berhad akan membincangkan prospek pasaran minyak sawit pada 2024 dalam pembentangannya bertajuk 'Will 2024 Bring Roaring Success or Challenges to the Palm Oil Market?'. - DagangNews.com







