141 pelajar UPM sertai Hari Perbarisan Badan Beruniform Sesi 2022/2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

141 pelajar UPM sertai Hari Perbarisan Badan Beruniform Sesi 2022/2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

SERDANG 19 Jan - Seramai 141 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada pelbagai badan beruniform telah menyertai acara Hari Perbarisan Badan Beruniform Sesi 2022/2023 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) di Padang Kawad, UPM Serdang baru-baru ini.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr Mohd. Roslan Sulaiman berkata, penglibatan pelajar dalam badan beruniform sangat signifikan dan selari dengan Matlamat Satu, Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu ‘Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang’.

 

Beliau berbangga dengan komitmen para pelajar yang terlibat dan ini membuktikan mereka sentiasa beriltizam untuk bergiat aktif dalam pasukan badan beruniform dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Prof. Datuk Dr Mohd. Roslan Sulaiman menyerahkan anugerah kepada salah seorang pelajar anggota badan beruniform Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS).
Prof. Datuk Dr Mohd. Roslan Sulaiman menyerahkan anugerah kepada salah seorang anggota  ​​​Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS).

 

“Kita mahu pelajar UPM merebut segala peluang yang ada untuk menganggotai mana-mana badan beruniform yang ada untuk menyuburkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

 

“Saya berharap mereka boleh bertindak sebagai duta patriotisme dan badan beruniform UPM dengan mempromosikan kelebihan dan manfaat yang diperolehi melalui keanggotaan kepada rakan-rakan pelajar yang lain terutamanya yang baharu kelak,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Mohd. Roslan lagi, jumlah keseluruhan anggota badan beruniform di universiti tersebut adalah seramai 632 pelajar dari tahun pertama hingga akhir.

 

Prof. Datuk Dr Mohd. Roslan Sulaiman

 

Tambahnya, jumlah ini menunjukkan para mahasiswa sangat berminat untuk bergiat aktif dalam pasukan badan beruniform yang boleh menyuntik semangat menghargai peranan dan pengorbanan anggota badan beruniform negara.

 

"Ini sekali gus mampu memperkasa semangat cinta dan sayangkan rakyat serta negara," katanya lagi.

 

Prof. Datuk Dr Mohd. Roslan Sulaiman bersama anggota badan beruniform yang hadir.

 

Program tersebut dianjurkan untuk membina sifat kepimpinan, serta memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan dalam aktiviti badan beruniform.

 

Badan beruniform yang ditubuhkan di UPM ialah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS), Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA), Persekutuan Pengakap Malaysia dan ersatuan Pandu Puteri KLOV. - DagangNews.com