Alexander Nanta Linggi.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 April - Sebanyak 13,111 perniagaan telah didaftarkan di bawah Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) sehingga 31 Mac 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, S1OKU1P merupakan inisiatif ketiga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2021 yang yang diumumkan dalam agenda Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
"Melalui inisiatif berkenaan, SSM menawarkan bantuan kepada golongan OKU untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan dengan SSM secara percuma sebagai galakan buat golongan OKU untuk menceburi bidang perniagaan.
"Inisiatif ini telah diperkenalkan pada 23 Oktober 2012 dengan nama Insentif OKU 2012 sebelum dijenamakan semula kepada S1OKU1P pada 5 Januari 2017.
"Melalui S1OKU1P, golongan OKU boleh mendaftar dan memperbaharui pendaftaran perniagaan dengan SSM secara percuma. Sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 13,111 perniagaan telah didaftarkan di bawah S1OKU1P," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran kempen ‘Usahawan Bijak, Usahawan Berdaftar’ bersempena Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM yang ke-19, hari ini.
Majlis pelancaran tersebut dijalankan di Ibu Pejabat SSM, Kuala Lumpur Sentral yang turut disaksikan lebih 1,000 penyertaan secara dalam talian.
Dalam ucapan yang sama, beliau memberitahu, SSM terus komited untuk membantu meringankan beban komuniti perniagaan dengan melaksanakan inisiatif melanjutkan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan.
Pengecualian tersebut adalah termasuk dengan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021 yang akan memberi manfaat kepada lebih 330,000 komuniti perniagaan.
Inisiatif yang telah diumumkan pada 30 Mac 2021 itu adalah sebagai lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan mulai 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020, sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021.
"Saya yakin dan percaya bahawa semua inisiatif yang diperkenalkan dapat memberi implikasi yang positif dan komprehensif bagi memastikan entiti perniagaan terus berdaya maju, diberikan perlindungan secukupnya, sekali gus terus beroperasi dalam tempoh pasca pandemik COVID-19," katanya lagi. - DagangNews.com








