12 syarikat konsesi setuju laksana sistem pembayaran tol terbuka bermula September | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

12 syarikat konsesi setuju laksana sistem pembayaran tol terbuka bermula September

KUALA LUMPUR 10 Mei - Sejumlah 12 syarikat konsesi tol bersetuju untuk menggunakan sistem pembayaran terbuka yang akan dilaksanakan sepnuhnya bermula September ini.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, rundingan masih giat dijalankan bersama pemegang konsesi yang lain.

 

"Pelaksanaan di semua 12 syarikat konsesi akan dimulakan September ini dan kita harap lebih banyak syarikat konsesi akan tampil.

 

"Tempoh percubaan pelaksanaan itu akan berjalan sehingga Julai ini," katanya selepas mengadakan lawatan kerja Ke Pusat Pemantauan Trafik (TMC) di Menara Korporat, Persada PLUS, 

 

Sebelum ini, beliau memaklumkan, antara lebuh raya yang terbabit ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

 

Selain itu, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

 

Alexander berkata, aspek keselamatan berkaitan kaedah pembayaran sentiasa diberi keutamaan dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di plaza tol lebuh raya.

 

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan risiko kepada pengguna dapat diminimumkan manakala pelaksanaan tidak dibuat secara tergesa-gesa.

 

"Kita perlu pastikan aspek keselamatan kaedah bayaran ini supaya risiko dapat diminimumkan, maka itu sebabnya perbincangan mengambil masa.

 

"Apa juga isu kemungkinan masalah yang boleh berlaku perlu dipastikan tidak berlaku, jadi tak boleh buat tergesa-gesa," katanya.

 

Mengulas mengenai projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di selatan, beliau berkata, kerja-kerja akan berjalan secara berperingkat dengan fasa kerja permulaan membabitkan laluan dari Pasir Gudang ke Sedenak.

 

"Ia satu (rancangan) projek yang besar untuk pelebaran lebuh raya dan ada juga projek diluluskan berjumlah RM525 juta (bagi fasa pertama) di kawasan Pasir Gudang ke Sedenak yang diluluskan dalam Bajet 2023.

 

"Memang ada tempoh melaksana keseluruhan projek apabila kelulusan sudah diberi. Sekarang kerja-kerja awal sudah dilaksana, jadi kita serah kepada PLUS untuk laksanakan," katanya. - DagangNews.com