11,000 jawatan kosong ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di MITC Melaka pada 18 dan 19 Jun 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

11,000 jawatan kosong ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di MITC Melaka pada 18 dan 19 Jun 2022

Ngwe Hee Sem (kanan) meninjau persiapan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans anjuran Perkeso pada Sabtu dan Ahad ini di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - Gambar FB Ngwe Hee Sem

MELAKA 13 Jun - Sebanyak 11,000 jawatan kosong ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

 

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, karnival itu melibatkan 37 majikan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor perkhidmatan, pembuatan dan perkilangan serta menyasarkan kehadiran 7,000 pengunjung.

 

"Karnival ini merupakan acara tahunan anjuran bersama kerajaan negeri serta Perkeso sejak 2020 dan pada kali ini turut melibatkan penyertaan platform digital yang menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

 

Beliau berkata, sejajar dengan pembukaan semula semua sektor pada fasa peralihan ke endemik, karnival itu juga menyediakan peluang kerjaya kepada semua lapisan pencari kerja termasuk graduan institusi pengajian tinggi, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

 

Menurutnya, karnival juga dilihat dapat memenuhi keperluan penempatan pekerjaan seterusnya mengatasi isu pengangguran di negara ini khususnya Melaka.

 

Ngwe berkata, mereka yang bekerja sendiri juga boleh berkunjung karnival itu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso, menurut Bernama.

 

 

mitc

 

 

"Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat keusahawanan dan buruh daripada agensi-agensi selain mengambil peluang mendapatkan pekerjaan," katanya dengan menambah orang ramai yang berminat mengunjungi karnival itu boleh mendaftar di https://www.myfuturejobs.gov.my/careerfair/. - DagangNews.com