100,000 PKS disasar guna perkhidmatan penghantaran antarabangsa Delyva menjelang akhir 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

100,000 PKS disasar guna perkhidmatan penghantaran antarabangsa Delyva menjelang akhir 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Delyva Sdn. Bhd. (Delyva) menyasarkan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran antarabangsa yang disediakan mereka menjelang hujung tahun 2022.

 

Delyva memperkenalkan penghantaran antarabangsa baharunya yang meliputi 100 negara di seluruh dunia yang boleh diakses dengan platform tempahan penghantaran DelyvaNow.

 

Menerusi perkhidmatan baharu itu, PKS yang berdaftar dengan mereka boleh mendapatkan kadar yang lebih menjimatkan untuk penghantaran antarabangsa dan meluaskan pasaran mereka tanpa perlu mengira jumlah penghantaran yang digunakan.

 

Mereka juga mendapat akses ciri penjejakan bersatu (unified tracking) yang boleh mengesan semua penghantaran antarabangsa dan memberikan kemaskini penjejakan masa nyata kepada pelanggan mereka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Delyva, Hanif Wahid berkata, perkhidmatan baharu yang dipernekalkan itu adalah bertujuan membantu PKS tempatan yang menghadapi masalah untuk membiayai kos perkhidmatan penghantaran antarabangsa dan kekurangan sumber untuk pengurusan logistik.

 

"Sebahagian daripada mereka ini tidak tahu bagaimana untuk melakukan penghantaran antarabangsa dan kami sedia membantu menyelesaikan masalah ini selain dapat menjimatkan masa.

 

"Kami berharap dapat menarik sekurang-kurangnya 100,000 PKS untuk mendaftar ke perkhidmatan baharu ini menjelang akhir 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, sistem tempahan penghantaran Delyva dapat disatukan dengan palatform jual beli dalam talian yang popular, menjadikannya mudah kepada penjual untuk menggunakan perkhidmatan itu.

 

Delyva sudah mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membantu PKS menguruskan penghantaran domestik. 

 

"Menerusi perkhidmatan baharu ini, ia berharap dapat membantu menggalakkan lebih ramai penjual untuk melangkah ke pasaran antarabangsa," katanya. - DagangNews.com