Tok Wan dah mati tapi geran tanah atas nama dia! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 24 May 2023
parafrasa

TOK WAN DAH MATI TAPI GERAN TANAH ATAS NAMA DIA!

 

 

BARU-BARU ini saya berada di sebuah negeri  berbincang dengan seorang rakan tentang isu-isu harta pusaka. Sebagai antara orang yang secara langsung terlibat dengan urusan harta pusaka dia pening memikirkan kes-kes pusaka yang bakal semakin banyak dihadapinya pada masa depan.

 

Ini ekoran tindakan kerajaan yang mulai aktif mengeluarkan banyak hak milik tanah yang baru kepada pemohon-pemohon. Dari segi sejarahnya, pemohon-pemohon ini sudah pun mengusahakan tanah-tanah kerajaan itu berpuluh tahun lamanya. Pendapatan dan kehidupan mereka bergantung kepada hasil tanah tersebut.   

 

Semenjak puluhan tahun yang lepas juga pemohon-pemohon ini sudah pun memohon hak milik tanah-tanah ini dari kerajaan. Hanya sekarang sahaja, kerajaan meluluskan permohonan ini. Malangnya pemohon sudah pun lama meninggal dunia. Geran baru pula dikeluarkan di atas nama pemohon.

 

Rakan ini bercerita yang datang menerima geran-geran ini dengan linangan air mata ialah cucu-cucu iaitu generasi ketiga kepada pemohon. Namun dalam kegembiraan dan keharuan itu wujud pula cabaran yang baru.

 

Oleh kerana geran-geran ini dikeluarkan di atas nama simati, ia menyebabkan waris-waris perlu melalui pula melalui proses pengurusan pusaka sebelum ia boleh diturun milik kepada generasi seterusnya. Maka semakin banyaklah kes-kes pusaka yang tertunggak di Malaysia.

 

Pada saya tindakan kerajaan negeri meluluskan permohonan hak milik ini ialah tindakan yang sangat wajar pada ketika ini. Pemilikan tanah yang diberikan membolehkan pemiliknya mengeksploitasi secara maksimum kegunaan  tanah bagi manfaat ekonominya.

 

Apabila hak milik telah dikeluarkan juga maka pemilik tanah perlu membayar cukai tanah. Jadi kerajaan mendapat hasil. Namun jika nama pemilik di dalam geran itu sudah pun mati, sasaran kerajaan untuk mendapat cukai tanah tetap tidak akan tercapai.

 

Pengalaman 25 tahun saya dalam industri menunjukkan waris-waris tidak mahu membayar cukai tanah bagi geran yang di atas nama simati kerana merasakan tanah itu bukan milik mutlak mereka selagi urusan pusaka tidak diselesaikan. Masih tidak jelas siapakah si empunya sah tanah tersebut.


 

geran
Contoh geran tanah - Gambar hiasan

 


Isu geran di atas nama generasi terdahulu ini bukanlah perkara baru yang saya lalui. Ke mana sahaja saya pergi seluruh Malaysia malah di mana-mana sahaja seluruh dunia, mesti saya ketemui situasi hak milik harta di bawah nama simati dan belum diuruskan warisnya.

 

Jika anda ialah waris yang berada di dalam keadaan ini, anda mesti faham dengan jelas situasi ini dari sudut hukum. Harta pusaka yang ditinggalkan simati adalah hak kepada waris-warisnya mengikut hukum faraid.

 

Jika harta itu mempunyai hasil maka hasil itu juga adalah hak waris-waris tersebut. Jika ada waris tertentu sahaja yang menikmati hasil harta itu, maka hukumnya adalah haram. Kedudukan ini adalah jelas.

 

Mungkin juga sesama waris ada persetujuan bersama bahawa waris tertentu yang tinggal atau mengusahakan tanah itu akan mendapat hasilnya atau ada formula permuafakatan tertentu, namun jika waris itu pula meninggal dunia, maka waris-waris kepadanya pula yang akan berhak dan belum tentu mereka akan bersetuju dengan kaedah permuafakatan yang dipersetujui sebelum ini.

 

Saya berjumpa dengan satu kes di mana adik-beradik ini mengusahakan tanah yang ditanam dengan kelapa sawit dan mempunyai hasil.

 

Geran tanah masih di atas nama arwah ayah yang telah meninggal dunia lebih 20 tahun yang lepas. Proses pengurusan pusaka tidak dibuat kerana adik-beradik ini merasakan hubungan mereka baik dan mereka tidak berhasrat menuntut tanah itu. 


 

volatiliti

 


Adik-beradik ini kemudiannya bersetuju bahawa adik bongsu yang tinggal di kampung yang selama ini membantu ayah mengusahakan tanah kebun itulah yang akan terus menikmati hasil dari kebun.

 

Kerana merasakan tanah itu sudah menjadi miliknya berdasarkan persetujuan adik-beradik, si adik bongsu ini bersungguh-sungguh mengeluarkan modal dan tenaga bagi menjayakan tanaman malah mendirikan rumahnya juga di atas tanah itu.  

 

Namun salah seorang dari adik-beradik ini kemudiannya meninggal dunia. Anak-anak kepada simati kini menuntut supaya hak mereka mengikut hukum faraid di atas kebun itu diserahkan.

 

Berlaku perbalahan hebat di antara anak-anak saudara dan bapa saudara mereka yang akhirnya mengakibatkan putusnya hubungan silaturahim sesama mereka.

 

Persoalannya adakah anak-anak saudara ini mempunyai hak? Jawapannya “Ya”. Mereka mewarisi hak yang pada asalnya menjadi hak ayah mereka.

 

Bolehkah hak mereka dinafikan kerana ayah mereka telah bersetuju menyerahkan haknya kepada adik bongsu? Jawapannya “Hak anak saudara ini tidak boleh dinafikan kerana tiada pelepasan hak secara rasmi dibuat oleh simati kepada adik bongsu itu semasa hidupnya.”

 

Sebenarnya isu ini boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya kesemua adik-beradik ini sebaik kematian ayah mereka melakukan proses pengurusan pusaka baik di Mahkamah Tinggi Sivil mahupun di Pejabat Pusaka Kecil.


 

parafrasa

 


Buatlah permohonan bicara pusaka dan serahkan semua dokumentasi yang diperlukan perundangan. Hadirlah bicara permohonan pusaka dan putuskan secara rasmi kepada siapakah tanah itu mahu diturun milik.

 

Jika benar adik-beradik ini mahukan adik bongsu mereka mewarisi tanah itu, rasmikan serahkan semua hak mereka kepadanya ketika bicara kuasa ini.

 

Apabila telah sah tanah ini diturun milik kepada adik bongsu, barulah ia sah menjadi miliknya. Bolehlah dia melaburkan segala modal dan tenaga ke atas tanah itu.

 

Tiada mana-mana pihak pun boleh mempertikaikannya. Sekaligus mengelakkan risiko perbalahan pada masa hadapan.

 

Masalah kita orang Melayu Malaysia ini ialah sikap kita yang suka melambat-lambatkan proses pengurusan pusaka.

 

Kita sentiasa berfikiran bahawa segala-galanya akan berjalan lancar, waris-waris akan sentiasa bermuafakat dan tidak perlu kita mempercepatkan urusan pusaka kerana nampak seolah-olah macam kita gelojoh dan tamak harta.


 

parafrasa

 


Pengalaman saya menunjukkan bahawa orang Melayu hanya akan mula berfikir tentang pengurusan harta pusaka di dalam tempoh purata di antara 3 hingga 5 tahun sahaja. Pada ketika ini, ada waris telah pun meninggal dunia dan menambah lagi kecelaruan urusan pusaka.

 

Situasi ini berbeza terutamanya kepada kaum Cina. Mereka akan bersegera menguruskan pusaka kerana mereka tahu masalah yang bakal menunggu jika urusan itu dilewatkan.

 

Kaum ini juga melihat harta pusaka sebagai modal perniagaan. Kerana itu mereka mahukan urusan ini dibuat cepat supaya mereka boleh menggembleng harta pusaka ini untuk manfaat ekonomi.     


   

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

parafrasa

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags