Perjuangan baharu bermula di bumi Turki | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 29 November 2021
Wasiyyah

Perjuangan baharu bermula di bumi Turki

 

 

KETIKA artikel ini ditulis, saya berada di bumi Ottoman, Turki. Waktu ketika ini 5.30 pagi waktu Turki ( 10.30 pagi waktu Malaysia ) 27hb November 2021. Suhu di luar hotel 7 celcius.

 

Pada waktu ini, Turki sedang menghampiri musim sejuk. Angin yang bertiup dari Laut Marmara dan Selat Bosphorus menambahkan lagi dingin pagi seperti mencucuk sehingga ke tulang.

 

Ada rakan tanya kenapa sibuk-sibuk nak tolong rakyat negara lain? Dah habiskah semua rakyat Malaysia merancang harta dengan Wasiyyah Shoppe Berhad? Atau sengaja nak pergi makan angin mengambil kesempatan dari kelonggaran yang kerajaan berikan untuk rentas sempadan?

 

Saya hanya tersenyum bila ditanya soalan begitu. Mungkin mereka benar-benar ingin tahu kenapa saya ke Turki atau sekadar melontar soalan sinikal.

 

Saya memang tak pernah ambil pusing apa orang nak kata tentang saya sejak dari 1998 lagi bila saya mula menceburi bidang perancangan harta secara Syariah ini.

 

Ketika itu industri perancangan harta ini masih tidak wujud di Malaysia. Berlatarbelakang kerjaya perbankan, ahli keluarga sendiri pun tidak yakin sama ada saya akan kekal istiqomah menceburi bidang yang menurut mereka  ‘tiada masa depan’ ini.

 

Namun pada saya apa sahaja yang orang katakan baik kata-kata negatif yang cuba melunturkan semangat  mahupun pujian, tidak memberi sebarang kesan kepada saya dalam melaksanakan amanah ini. Saya tetap begini tidak kurang tidak lebih.

 

Di dalam hati, saya hanya ada satu niat iaitu untuk menyebar dan berkongsi kebaikan perancangan harta secara Syariah kepada seberapa ramai umat Islam yang boleh selagi Allah masih meminjamkan nyawa dan kesihatan kepada saya.

 


 

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin (tengah) bersama Dr Bilal Ilhan, Penolong Naib President Wasiyyah Family Office dan Nurul Syaqinah Ariffin, Ketua Strategi Korporat dan Strategi di ruang pameran Wasiyyah Shope di IOC Halal Expo di Istanbul. 

 

 

Pada saya ini bukan kerja sebaliknya ia adalah ibadah fardu kifayah yang mesti saya buat walau apa pun ujiannya. Saya bercita-cita untuk menutup mata dalam keadaan saya tahu apa yang saya lakukan dan korbankan selama ini akan menyumbang kepada kehidupan hakiki saya kelak Insya-Allah.

 

Di Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad sudah pun berada di atas landasan yang tepat walaupun perjalanannya masih jauh.

 

Lebih 75,000 orang Islam telah kami bantu dalam urusan perancangan harta mereka. Lebih dari RM35 bilion nilai harta di dalam pewarisan (asset under inheritance) telah dicapai setakat 31 Disember 2020.

 

Dan tadbir urus korporat mantap sebaik syarikat senaraian awam, proses pembangunan produk perancangan harta patuh Syariah yang berterusan, proses pendigitalan yang sedang hebat berjalan dan strategi pembangunan sumber manusia berkualiti untuk membawa dakwah ini kepada masyarakat sudah pun berkembang  mengikut jadual.

 

Insya-Allah jika direzekikan Allah SWT, kami juga sedang berusaha keras untuk membawa Wasiyyah Shoppe Berhad muncul sebagai syarikat amanah patuh Syariah pertama di Malaysia  yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia di dalam jangka masa beberapa tahun akan datang.

 

 

 

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin bersama Duta Malaysia ke Turki, Tuan Sazalli Mustafa Kamal di ruang pameran Wasiyyah Shope di IOC Halal Expo di Istanbul. 

 

 

 

Sudah tu kenapa sibuk-sibuk nak tolong negara lain jika misi di Malaysia pun belum selesai? Jawapan saya ialah kerana ilmu fiqh mawarith ini bukanlah milik eksklusif rakyat Malaysia sahaja. Ia menjadi amanah ilmu kepada kami untuk menyebarkannya kepada umat Islam seluruh dunia.

Di Turki, perancangan harta tidak pernah menjadi tumpuan baik secara sivil apatah lagi secara Syariah.

 

Latar belakang sosio budaya yang berpaksikan sekularisme menyebabkan usaha penyebaran dakwah fiqh mawarith ini lebih mencabar berbanding di Malaysia.

 

 Kalau berjalan di Istiklal Street Istanbul, kita akan rasa seolah-olah berjalan di Oxford Street London keadaannya. Sekularisme dan kebebasan mereka memang terserlah walaupun kini ia antara negara Islam yang hebat. 

 

Mereka lebih fokus kepada pengumpulan aset dan selepas kematian, terserahlah kepada sistem perundangan Kerajaan bagaimana nak membahagikan harta pusaka.

 

 

 

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin diiringi Dr Bilal Ilhan (kanan) menyampaikan cenderahati kepada
Hassan Bey, peguam kewangan Islam terkemuka di Turki.


 

 

Sekiranya mereka mempunyai hasrat untuk membuat agihan harta pusaka, maka wasiat adalah satu-satunya pilihan yang ada. Di Turki juga ada masalah harta pusaka orang Islam yang kronik.

 

Kisah perebutan harta pusaka dan keruntuhan institusi keluarga kerana harta pusaka juga diceritakan kepada saya oleh rakan-rakan peguam di sini.

 

Inilah juga sebenarnya dapatan saya bila saya berceramah di Australia, Brunei, Singapura dan United Kingdom. Masalah harta pusaka untuk orang Islam wujud di seluruh dunia! Sebab itulah kami bersungguh-sungguh ingin menyebarkan ilmu ini kepada umat Islam di seluruh dunia.

 

Undang-undang di Turki sangat kuat terpengaruh dengan undang-undang Perancis dan Itali.

 

Bagi memperkenalkan elemen fiqh mawarith kepada rakyat Turki sifat undang-undang mereka perlu dihadam.

 

Budaya masyarakat mereka juga perlu diperhalusi supaya apa yang dibuat dapat diterima oleh mereka.   

 

Faraid? Ia satu ilmu yang masih asing di bumi Ottoman ini. Hibah? Hampir langsung tidak kedengaran.

 

Malah perbankan Islam juga baru bermula dan ia terpaksa dinamakan “Participation Bank” kerana perkataan “Islamic Banking” agak sukar diterima di sini.

 

 

 

Wasiyyah

 

 

 

Seorang peguam kewangan Islam bertanya kepada saya bolehkah standard perancangan harta Syariah yang diguna pakai oleh Wasiyyah Shoppe Berhad di Malaysia diamalkan di Turki?

 

Jawapan saya tentu sahaja boleh kerana kaedah perancangan harta  yang diamalkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad di Malaysia adalah bersumberkan al-Quran, As-Sunnah dan ijmak ulamak rentas mazhab.



Ia bukan undang-undang ciptaan Wasiyyah Shoppe Berhad  sebaliknya ia adalah ajaran Islam yang boleh diamalkan di seluruh dunia.

 

Dapatan daripada penyelidikan ilmiah yang kami lakukan menemukan kami dengan pelbagai kaedah perancangan harta secara Syariah. Cumanya, pasti kami perlu menyesuaikan kaedah-kaedah ini dengan undang-undang Turki.  

  

“Kau ni memang suka buat kerja susahlah! Kerja senangkan ada buat sajalah kerja senang!” Komen seorang kawan ketika saya berkongsi idea untuk membawa dakwah fiqh mawarith ini ke seluruh dunia.

 

Saya hanya tersenyum bila dikomen begitu. Saya memang tahu ada kerja yang lebih senang boleh dibuat jika saya mahu namun saya juga tahu bahawa syurga tidak akan dapat dicapai jika kita sekadar mahu bersenang-lenang di dunia!

 

  

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

Portfolio Tags