Orang Islam memang dah lama rugi teruk dek pusaka. Sedarlah! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 1 March 2023
anekdot

ORANG ISLAM MEMANG DAH LAMA RUGI TERUK DEK PUSAKA. SEDARLAH!

 

 

SAYA sudah bekerja 25 tahun di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka semenjak 1998 dan telah mengembara ke banyak negara untuk bercakap tentang isu harta pusaka.

 

Dari pemerhatian saya kita umat Islam seluruh dunia memang berdepan dengan isu harta pusaka yang sangat kronik dan kita banyak kerugian dari sudut ekonomi akibat harta pusaka.

 

Ia satu perkara yang sangat malang, apabila kita gagal melihat harta pusaka sebagai satu sumber yang boleh digembeling potensinya bagi memanfaatkan ekonomi ummah. Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar hari ini, kita melihat bagaimana Kerajaan, para pemikir dan penggerak ekonomi dan masyarakat secara umumnya bertungkus-lumus memecah kepala memikirkan apakah formula terbaik untuk membangunkan ekonomi ummah dan negara.

 

Realitinya kita tahu bahawa golongan paling miskin di negara kita ialah umat Islam. Kita tahu juga bahawa umat Islam paling terkesan dengan keadaan ekonomi semasa sehingga ada yang terpaksa memohon belas ikhsan orang ramai hanya untuk membeli makanan.

 

Dalam keadaan kita sibuk berfikir formula ini, kita langsung tidak nampak ada harta pusaka seperti hartanah dan wang tunai milik datuk nenek atau ibubapa kita yang masih tidak diturunmilikkan kepada kita sebagai pewarisnya. Harta-harta ini tidak boleh digunakan baik dari segi hukum mahupun undang-undang selagi pewarisannya tidak diselesaikan.

 

Kita juga melihat bagaimana syarikat perniagaan milik orang Islam yang dibina berpuluh tahun lamanya, musnah apabila pemegang saham atau pengasasnya mati. Berbanding hartanah dan wang tunai, saham syarikat lebih sukar untuk diwariskan kerana ia adalah harta yang dinamik dengan nilai yang berubah-ubah. Jika hartanah dan wang tunai hanya melibatkan waris-waris faraid sahaja, saham syarikat lebih kompleks kerana ada juga kepentingan pihak lain seperti pemegang saham yang lain, pembiaya, kakitangan, pembekal, pengedar dan sebagainya. In shaa Allah saya akan hurai isu pewarisan perniagaan ini di dalam artikel saya yang seterusnya. 

 

Legasi ekonomi gagal dibina kerana kurangnya kesedaran di kalangan pemegang saham tentang kesan kematiannya kepada perniagaan. Ahli perniagaan kebanyakannya terlalu sibuk membina empayar dan mengumpul kekayaan untuk syarikat sehingga lupa merancang pewarisan perniagaannya.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Sebagai ‘orang tua’ di dalam industri yang telah berjuang puluhan tahun dengan kudrat, daya dan modal sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak, kadang-kadang terselit juga  rasa kecewa dengan keadaan ini. Namun saya tahu ini ialah salah satu daripada ibadat fardhu kifayah yang mesti dilakukan.

 

Saya memilih untuk melakukan kerja susah ini bukan di atas sebab komersil atau keuntungan semata-mata, sebaliknya saya lakukan untuk melepaskan ummah keseluruhannya daripada dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT kelak. Semoga Allah terima segala penat lelah ini sebagai sebahagian amal kebaikan saya di dunia ini.

 

Ianya reality yang menyedihkan apabila tidak ramai yang mampu melihat harta pusaka sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada isu ekonomi ummah hari ini. Kita ada sumber ( harta pusaka ) yang banyak yang dikatakan bernilai sehingga RM70 bilion tetapi masih tiada sebarang usaha tuntas dibuat untuk mencegah dari masalah ini semakin berlarutan pada masa hadapan dan tiada juga jalan penyelesaian diperkenalkan bagi membantu menghuraikan permasalahan sedia ada ini.

 

Isu pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur contohnya masih gagal menemui penyelesaiannya walaupun kerajaan yang silih berganti mengemukakan pelbagai cadangan. Bayangkan betapa signifikannya kepada waris dan ekonomi ummah jika hartanah yang bernilai tinggi ini dapat dibangunkan potensinya. Waris-waris pastinya akan mendapat manfaat ekonomi dan negara juga akan untung.     

 

Hartanah yang dimiliki oleh simati, juga kemungkinan besar tidak akan berbayar cukai tanahnya kerana tiada pengesahan jelas siapakah waris yang sebenarnya berhak ke atas tanah itu. Kerajaan negeri kerugian daripada sudut hasil apabila keadaan ini berlaku.

 

Bila pengambilan tanah pula berlaku ke atas tanah yang masih berdaftar di atas nama simati, bayaran ke atas tanah itu tidak boleh diserahkan kepada waris-waris. Bayaran pampasan akan dibuat kepada Amanah Raya Berhad. Waris-waris perlu melalui proses pengurusan pusaka yang sepatutnya di Pejabat Pusaka Kecil ( Bagi harta pusaka bernilai kurang RM2 juta ) atau Mahkamah Tinggi Sivil ( harta pusaka melebihi nilai RM2 juta ). Proses ini kadang-kadang memakan masa bertahun lamanya tambah pula jika ada perbalahan di antara waris-waris.  

     

Saya sendiri ada terlibat di dalam beberapa usaha ke arah cadangan penyelesaian isu harta pusaka di Malaysia tetapi ketiadaan sokongan yang kuat daripada pihak yang mempunyai kuasa menyebabkan semua usaha ini berlaku hanya sekerat jalan sahaja. Harta pusaka kekal menjadi isu masyarakat yang tidak terhurai sehingga hari ini dan ummah terus mengalami kerugian yang berpanjangan.

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad di atas kapasiti sendiri dengan sumber yang terhad memang telah berusaha keras semenjak 2004 untuk membantu negara sedaya upaya agar isu ini dapat dicegah dan diselesaikan.

 

Dengan kudrat yang tidak seberapa ini kami telah menyelesaikan lebih dari 500 kes harta pusaka dengan nilai yang mencecah hampir RM1 billion.

 

Sekurang-kurangnya inilah sumbangan dan modal yang dapat kami bawa ke akhirat apabila ditanya oleh Allah SWT kelak.   

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags