COVID-19 dan perancangan harta | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 26 October 2020
aaa

COVID-19 DAN PERANCANGAN HARTA

 

SELURUH dunia sedang dilanda pandemik COVID-19. Ekonomi terjejas teruk berikutan langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan Kerajaan. Ramai orang mengeluh kerana terputus punca pendapatan. Dibuang kerja dan kemerosotan perniagaan kelihatannya masalah yang suka atau tidak perlu dihadap masyarakat.

 

Melihat kepada keadaan semasa, pandemik ini kelihatannya tidak akan lenyap dari bumi Malaysia dalam jangka waktu terdekat. Ada juga negara yang sudah pun mengambil langkah pro aktif mendidik rakyatnya untuk hidup bersama virus ini.

 

Mungkin Malaysia juga harus mengambil langkah yang sama memperkenalkan norma baru yang lebih terkawal bagi membendung penularan virus ini di dalam masyarakat. Sekatan-sekatan kepada aktiviti ekonomi walaupun mungkin berkesan dalam jangka pendek tapi memberi kesan negatif yang berkekalan kepada rakyat dalam jangka panjang.

 

Apapun kita serahkan kepada kebijaksanaan Kerajaan bagi merangka strategi ini. Kita sebagai rakyat, jaga keluarga kita baik-baik dan mengamalkan ‘self-constraint’ yang bersesuaian.

 

Apapun penulisan saya minggu ini bukanlah untuk mengulas strategi membendung penularan virus ini tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kesan pandemik ini kepada industri perancangan harta.  

 

Di dalam musim pandemik ini, maut kelihatannya amat mudah menjemput jika terjangkit oleh virus ini. Banyak kes yang kita dengar dalam jangka masa yang pendek sahaja, dari saat terjangkit, pesakitnya berdepan risiko kematian yang tinggi bergantung kepada tahap kesihatan semasanya.

 

Kerap diulas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, pesakit yang maut biasanya juga mempunyai penyakit darah tinggi, diabetes, lemah jantung atau penyakit-penyakit yang lain. Memang ramai pun di antara kita yang sudah tersedia berdepan penyakit tiga serangkai ini. Jadi risiko kematian itu sangat ‘real’. Amat menakutkan sekali.

 

Saya terlibat di dalam industri perancangan harta ini semenjak 1998. Ribuan ceramah dan mungkin puluhan ribu orang telah mendengar ceramah saya secara terus (tidak termasuk seminar dan ceramah atas talian). Apabila saya menyeru masyarakat untuk segera merancang harta kerana maut itu tidak diketahui kehadirannya, ramai yang memandang enteng seruan saya. Antara alasan yang paling banyak saya dengari secara sinis ialah “saya sihat dan belum nak mati lagi” dan “saya muda lagi” !

 

Pada masyarakat, yang merancang harta itu hanyalah orang tua yang sudah lanjut umurnya atau orang yang sakit. Sangkanya hanya orang tua sahaja yang mati. Hanya orang sakit sahaja yang mati.

 

aaa

 

Namun semenjak pandemik ini melanda pada awal tahun 2020, saya memerhati dengan penuh minat peningkatan kadar permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan perancangan harta Wasiyyah Shoppe Berhad yang tiba-tiba melonjak dengan drastiknya sehinggakan kami kelam-kabut tidak menang tangan bekerja bagi memenuhi permintaan tinggi ini. Jika perniagaan lain mengalami kemerosotan akibat keadaan ekonomi semasa, Wasiyyah Shoppe Berhad pula melalui pengalaman yang berbeza. Alhamdulillah.  

 

Bila saya ingat-ingatkan, dulu saya dan perunding-perunding di Wasiyyah Shoppe Berhad berbuih mulut terpaksa bercerita berulang-ulang kali tentang isu ini kepada pelanggan barulah terbuka hati mereka untuk merancang harta. Hari ini tiba-tiba masyarakatlah yang tercari-cari perkhidmatan perancangan harta yang ditawarkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Sebelum pandemik ini, bila dah setuju nak merancang harta, proses kami nak mendapatkan dokumen-dokumen penting seperti salinan hak milik tanah, salinan kad pengenalan dan lain-lain dokumen dari masyarakat kadang-kadang memakan masa sampai setahun. Alasan sibuk adalah yang paling popular di atas kelewatan ini. Masyarakat tiada masa nak mencari di mana dokumen-dokumen ini berada.

 

Sejak pandemik ini melanda, hari ini berjumpa, esok semua dokumen sudah tersedia dan lusa pula mereka sudah mahu menandatangani semua dokumen. Tak boleh lewat walaupun satu hari pun! Mereka pula yang mengejar kami untuk menyediakan dokumen-dokumen perancangan harta secepat mungkin.

 

Permintaan untuk perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad juga melonjak apabila kami menyediakan perkhidmatan perlaksaan hibah melalui atas talian sejak virus ini menyerang Malaysia pada Mac 2020 yang lepas. Melalui perkhidmatan ini pelanggan tidak perlu bersemuka dengan kami atau sesiapa pun bagi melaksanakan hibah mereka. Apa yang mereka perlukan hanyalah talian internet yang baik. Ini mengurangkan risiko penularan COVID-19 dan menjamin keselamatan semua pihak.

 

Inilah sebenarnya satu hikmah yang dibawa oleh COVID-19. Bila masyarakat melihat betapa dekatnya maut itu dengan mereka dan betapa tingginya risiko mereka terkena jangkitan, barulah semua berebut-rebut ingin membuat dokumen perancangan. Semua orang kini semakin peka dengan harta mereka. Mereka tidak lagi berlengah untuk merancang harta. Kebajikan pasangan, anak-anak dan orang yang mereka kasihi kini menjadi keutamaan mereka.

 

Kepada saya yang telah bergelumang puluhan tahun dalam industri ini, perubahan sikap masyarakat ini amat besar kesannya kepada landskap industri perancangan harta. Bila ramai orang telah merancang harta mereka, maka kuranglah risiko harta pusaka mereka kelak bermasalah.

 

Harta pusaka yang ditinggalkan ini pula boleh diwarisi dengan cepat kepada generasi seterusnya. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, harta pusaka ini memang akan sangat-sangat membantu waris-waris kita dalam meneruskan survival kehidupan mereka. Waris-waris akan berterima kasih kepada kita kerana tindakan kita merancang harta dengan baik membantu mereka. Mereka juga akan mendoakan kita yang ketika itu sudahpun berada di alam barzakh.  Bukankah memang itu yang kita ingini?    

 

Jadi benarlah firman Allah SWT di dalam Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.  

 

ariffin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?

 

 

 

    

 

 

Portfolio Tags